WhatsApp, aplikasi permesejan percuma yang digunakan oleh dua billion pengguna di seluruh dunia menyatakan akan memperkenalkan iklan di dalam platformnya. Perkara ini telah disahkan oleh Will Cathart, Ketua WhatsApp menerusi temubual dengan media dari Brazil.
Berdasarkan kenyataan dari beliau, iklan yang akan diperkenalkan kelak tidak akan menjadi terlalu intrusif hingga mengganggu pengguna. Cathart juga menyatakan pihaknya tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menempatkan iklan di dalam peti masuk pengguna. Namun, beberapa ciri berbayar mungkin akan diperkenalkan pada sebahagian fungsi di dalam aplikasi tersebut.
September lalu, ketua aplikasi permesejan berkenaan dilaporkan menafikan dakwaan Meta sedang mengusahakan untuk menempatkan iklan di dalam peti masuk pengguna. Mengikut pada penjelasan beliau yang terkini, kemungkinan iklan yang dimaksudkan tersebut akan dimasukkan ke dalam Channels atau Status.
“Misalnya, Channels mungkin akan mengenakan bayaran kepada pengguna untuk melanggan, atau ia eksklusif kepada pengguna yang membayar atau pemilik berhasrat mempromosikan Channel masing-masing. Namun, kami tidak akan meletakkan iklan di dalam peti masuk anda,” ujar Will Cathart.
WhatsApp pernah menyatakan akan meletakkan iklan di dalam Status beberapa tahun lalu, namun rancangan tersebut telah dibatalkan pada 2020.
Tahun lalu, sebuah memo dalaman Meta yang tertiris mendedahkan Meta akan membangunkan ciri berbayar sebagai salah satu skim pengewangannya (monetisation) yang baharu. Sungguhpun tiada pelan premium diperkenalkan oleh WhatsApp, Naib Presiden Pengewangan Meta memaklumkan pihak syarikatnya tiada rancangan untuk memperkenalkan ciri yang memerlukan pengguna membayar untuk menghilangkan iklan.