Huawei kini memperkenalkan nova 15 Max untuk pasaran Malaysia. Model baharu tersebut diperkenalkan beberapa minggu selepas acara pelancaran global Huawei di Bangkok pada 7 Mei 2026.
Telefon ini membawa dua tarikan utama. Salah satunya bateri 8,500mAh dan kamera ultra-jelas 50MP RYYB. Dalam pada masa yang sama mengekalkan fokus pada pengalaman multimedia dan penggunaan harian yang lebih lama.
Ciri utama
Tarikan utama Huawei nova 15 Max ialah penggunaan bateri silikon-karbon berkapasiti 8,500mAh. Antara bateri terbesar yang pernah dimuatkan dalam telefon pintar keluaran Huawei.
Kapasiti sebesar ini membolehkan pengguna menikmati tontonan video di luar talian sehingga 27 jam atau penggunaan panggilan suara sehingga 48 jam tanpa perlu kerap mengecas peranti.
Selain itu, peranti ini menyokong pengecasan pantas 40W berwayar. Ia membolehkan peranti dicas penuh dalam masa kira-kira 1.5 jam. Manakala fungsi pengecasan berbalik (reverse charging) 5W pula boleh bertindak sebagai bank kuasa kepada peranti lain.
Sistem Kamera dengan Sensor RYYB
Dari segi kemampuan fotografi, telefon pintar ini dilengkapkan dengan dwi-kamera pada bahagian belakang. Lensa utamanya beresolusi 50 Megapixel (MP) dan menggunakan teknologi sensor Ultra Vision RYYB (Red, Yellow, Yellow, Blue).
Teknologi susunan piksel ini direka untuk menangkap lebih banyak cahaya berbanding sensor tradisional. Sekali gus meningkatkan kualiti dan perincian gambar terutamanya dalam keadaan pencahayaan rendah.
Lensa utama ini turut disokong oleh lensa sekunder 2MP, manakala bahagian hadapan peranti menempatkan kamera 8MP untuk keperluan swafoto dan panggilan video.
Paparan Skrin Cerah dan Prestasi Dalaman
Bagi pengalaman visual, peranti ini didatangkan dengan paparan skrin OLED berukuran 6.84 inci yang menyokong resolusi 1.5K.
Skrin ini menawarkan kadar segar semula (refresh rate) 120Hz untuk pengalaman tatalan yang lancar. Ia juga mempunyai tahap kecerahan puncak yang sangat tinggi mencecah 4,000 nits.
Dari sudut prestasi, Huawei nova 15 Max dipacu oleh cip pemprosesan lapan teras (octa-core) Kirin 8000 dengan memori RAM sebesar 8GB dan ruang storan dalaman 256GB.
Ciri Tambahan dan Rekaan Tahan Lasak
Satu lagi keunikan peranti ini ialah kehadiran Butang X (X Button) fizikal pada bahagian tepi yang membolehkan pengguna menetapkan dan melancarkan pelbagai tindakan pantas dengan mudah.
Badannya juga dibina dengan rekaan xuanjia (perisai) yang tahan lasak. Pengiktirafan pensijilan ketahanan lima bintang daripada SGS (Société Générale de Surveillance) juga memberikan perlindungan tambahan terhadap kerosakan akibat jatuhan harian.
Ciri-ciri pelengkap lain termasuk pembesar suara stereo berkuasa tinggi, pengimbas cap jari sisi, sokongan rangkaian 4G, sambungan Wi-Fi 7, Bluetooth 5.2, NFC, serta penderia inframerah.
Harga dan Promosi Pelancaran Huawei nova 15 Max di Malaysia
Di Malaysia, Huawei nova 15 Max dijual pada harga RM1,699 dan ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Blush Gold dan Golden Black. Sempena pelancaran, Huawei turut menawarkan rebat RM200, menjadikan harga jualannya RM1,499.
Selain rebat harga, anda turut menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM827. Antara hadiah yang ditawarkan ialah Huawei Band 10, jaminan APAC selama setahun, dan penggantian bateri percuma tanpa had masa selama dua tahun.













