Google memperkenalkan ciri ‘Try On’ di Malaysia yang membolehkan pengguna mengacu pakaian yang dijual secara dalam talian menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ciri baharu yang mula dilancarkan pada 2 Jun 2026 ini akan mula hadir kepada semua pengguna secara berperingkat.
Pengguna kini tidak lagi sekadar melihat pakaian pada gambar pegun atau pada model ukuran standard. Anda dapat melihat sendiri secara maya bagaimana pakaian tersebut kelihatan tepat pada tubuh hanya dengan memuat naik sekeping gambar.
Selain pakaian asas seperti baju, seluar, dan gaun, ciri ini turut menyokong percubaan kasut secara maya. Termasuk kasut gaya sneakers, kasut tumit tinggi, mahupun kasut loafer.
Dikuasakan Oleh Model Penjanaan Imej AI Khusus
Dari sudut teknikal, keupayaan luar biasa ‘Try On’ ini dijana oleh model penjanaan imej yang dibina khusus untuk industri fesyen.
Model canggih ini berkeupayaan memahami anatomi manusia berserta perincian halus kelakuan fabrik. Ia mengambil kira faktor-faktor fizikal seperti bagaimana material kain yang berbeza akan berlipat, meregang, dan beralun apabila disarungkan pada bentuk badan yang berbeza.
Menariknya, kecerdasan buatan ini mampu mengekalkan segala perincian halus tersebut. Ia akan disesuaikan secara tepat dengan gaya badan (pose) di dalam gambar yang dimuat naik oleh pengguna.
Integrasi Meluas Merentasi Ekosistem Google
Teknologi ini membolehkan pembeli-belah meneroka dan mencuba berbilion barangan pakaian menerusi Shopping Graph Google. Capaian ciri ini diintegrasikan secara menyeluruh menerusi platform carian utama merangkumi Google Search, Google Shopping, sehinggalah kepada hasil carian produk di ruangan Google Images.
Bagi pengguna yang ingin mencuba ciri ini, Google telah merangka proses penggunaan yang sangat mudah:
- Pertama, pengguna hanya perlu menekan mana-mana senarai produk pakaian di platform Google atau hasil di Google Images, dan ketik pada ikon “try it on”.
- Kedua, pengguna perlu memuat naik gambar penuh seluruh badan (full-length photo).
- Dalam masa beberapa saat, sistem akan memproses dan memaparkan imej pengguna yang sedang “memakai” pakaian tersebut.
Platform ini tidak meletakkan sebarang had, membolehkan pengguna bereksperimen dengan pelbagai rupa, gaya berbeza, warna, serta trend pakaian baharu sebanyak yang mereka mahukan sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.











