WhatsApp, aplikasi permesejan yang dimiliki Meta sebelum ini pernah menjadikan ciri Statusnya seakan-akan Stories di dalam Facebook, Instagram dan Snapchat beberapa tahun yang lalu. Ia kini menawarkan pelbagai pilihan media untuk dimuatkan ke dalam Status seperti foto, video dan juga teks.
Cuma pilihan suara sahaja yang tidak disediakan buat masa ini. WABetaInfo melaporkan sokongan untuk nota suara dijadikan sebagai kemaskini status akan ditambah ke dalam versi beta WhatsApp Android.
Status suara berkenaan boleh ditambah dengan mengetik pada ikon mikrofon pada halaman status. Ia ditempatkan berdekatan dengan pilihan kamera dan teks yang disediakan sekarang.
Buat masa ini tidak banyak perincian bagaimana ia berfungsi dikongsikan. Kemungkinan ia akan berfungsi seperti pilihan sedia ada untuk kemaskini status WhatsApp. Makna kata, ia akan dipaparkan selama 24 jam dan boleh ditayangkan kepada pengguna yang anda benarkan untuk melihat status anda.
Agak janggal juga apabila aplikasi permesejan seperti WhatsApp memperkenalkan fungsi sebegini. Platform berkenaan dilihat lebih ke arah menjadi sebuah platform media sosial berbanding sebuah aplikasi permesejan segera. Perkembangan ini tidak menghairankan memandangkan Facebook dan Instagram, yang kedua-duanya juga dibawah Meta turut kelihatan hampir menyamai antara satu sama lain.