Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan penangguhan serta-merta urusan penukaran hak milik kenderaan secara dalam talian bermula 25 Mei 2026.

Tindakan ini dilaksanakan susulan aduan berhubung insiden pemindahan hak milik kenderaan yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan dan kebenaran pemilik berdaftar.

Penangguhan perkhidmatan ini merangkumi semua platform digital utama termasuk portal awam dan kemudahan kiosk JPJ. Arahan ini juga tertakluk kepada rakan strategik niaga JPJ yang menawarkan perkhidmatan berkaitan, iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.

Kesannya, sistem pemindahan hak milik kekal melalui platform eSerahan Tukar Milik (eSTM) kini digantung sehingga dimaklumkan kelak.

Peralihan Ke Kaunter Fizikal

Susulan arahan penangguhan ini, semua urusan berkaitan perubahan hak milik kenderaan bagi kategori individu dan syarikat swasta wajib dilaksanakan di kaunter JPJ.

Bagi pemilikan persendirian individu, transaksi boleh diselesaikan pada hari yang sama di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Walau bagaimanapun, bagi kategori syarikat swasta, proses pengesahan dan kelulusan rasmi akan mengambil masa antara lima hingga tujuh hari bekerja bermula dari tarikh serahan dokumen yang lengkap.

Status Perkhidmatan eAuto

Walaupun sebahagian besar perkhidmatan digital dihentikan, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan terdapat pengecualian khusus untuk penyedia perkhidmatan eAuto.

Hanya urusan di bawah Sistem Tukar Milik Sementara (STMS) iaitu sebuah sistem untuk memindahkan pemilikan sementara kepada pengedar kenderaan yang masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Oleh yang demikian, syarikat penjual kereta terpakai yang ingin menguruskan pemindahan hak milik kekal kini perlu menghantar permohonan fizikal di pejabat JPJ.

Tinggalkan komentar