Aplikasi pemesejan popular, WhatsApp, kini mula menguji pelan langganan premiumnya yang dikenali sebagai WhatsApp Plus. Sebilangan pengguna peranti Android di beberapa buah negara terpilih kini boleh mencuba penawaran baharu tersebut.

Langkah pengujian awal ini dilaksanakan untuk mengumpul maklum balas daripada pengguna terawal. Ia dilaksanakan sebelum pelan tersebut ditawarkan kepada pasaran yang lebih luas.

Pelan berbayar WhatsApp Plus dibangunkan khas untuk menawarkan pelbagai kelebihan tambahan serta ciri penyesuaian (customisation) antaramuka bagi pelanggan berbayar.

Walaupun pengenalan pelan ini membawa ciri eksklusif baharu, fungsi asas dan pengalaman keseluruhan bagi pengguna percuma tidak akan mengalami sebarang perubahan.

Aspek privasi utama seperti penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption) yang bertindak melindungi fungsi borak, panggilan, dan status pengguna dikatakan masih dikekalkan pada tahap tertinggi untuk kedua-dua versi percuma dan berbayar.

Menurut WABetaInfo, langganan pelan premium ini akan mengikuti model langganan bulanan dengan pembaharuan secara automatik.

Kos langganan yang diuji didapati berbeza mengikut rantau. Sebagai contoh, ia ditawarkan pada harga EUR2.49 (sekitar RM12) sebulan di Eropah, PKR229 (sekitar RM3) di Pakistan, dan MXN29.00 (sekitar RM6) di Mexico.

WhatsApp berkemungkinan akan menyediakan tawaran percubaan percuma selama sebulan. Ia supaya membolehkan pengguna menilai dan menguji pelan premium berkenaan terlebih dahulu.

Caj langganan akan ditolak secara automatik pada tarikh yang sama setiap bulan. Pengguna yang mahu menghentikan bil perlu membatalkan langganan tersebut melalui Google Play sekurang-kurangnya 24 jam sebelum tarikh pembayaran seterusnya.

Pelan langganan berbayar WhatsApp Plus pada masa ini hanya ditawarkan eksklusif untuk aplikasi WhatsApp Messenger biasa dan tidak menyokong akaun WhatsApp Business.

Setakat ini tiada maklumat mengenai ketersediaan penawaran ini untuk pengguna di Malaysia.

Tinggalkan komentar