Sejak pelancarannya pada tahun 2015, Apple Music sentiasa mewajibkan pengguna untuk melanggan bagi mengakses koleksi lagu-lagu di dalam platform berkenaan.
Walau bagaimanapun, syarat ini mungkin akan berubah dalam masa terdekat. Hal ini berikutan satu penemuan baharu di dalam kod aplikasi tersebut yang menunjukkan kemungkinan pelan percuma akan diperkenalkan dengan sokongan iklan.
Sekiranya benar, pelan asas tersebut akan meletakkan Apple setara dengan tawaran daripada platform penstriman muzik yang lain.
Penemuan Kod dalam Versi Ujian (Beta)
NEW: It appears that Apple may be working on a free or lower-cost tier of Apple Music.
Strings in the latest Apple Music for Android beta mention “Can’t skip any more tracks” and “Premium access required” pic.twitter.com/xGHeaDb7X3
— Aaron (@aaronp613) May 30, 2026
Penemuan maklumat ini telah didedahkan oleh Aaron Perris, seorang penganalisis di MacRumors. Beliau mengesan beberapa baris kod baharu yang memaparkan mesej seperti “akses premium diperlukan” dan “tidak dibenarkan melangkaui trek”.
Petunjuk ini memberi gambaran Apple mungkin sedang bersedia untuk menawarkan alternatif kepada pengguna yang ingin menggunakan Apple Music tanpa komitmen langganan premium bulanan.
Walaupun ramalan awal menjurus kepada penciptaan pelan percuma, wujud juga kemungkinan Apple akan memilih untuk memperkenalkan pelan langganan pada harga yang lebih murah.
Oleh kerana maklumat kod ini ditemui melalui aplikasi versi ujian (beta) bagi peranti Android, kemungkinan ciri baharu ini dijangka akan menyokong kedua-dua platform iOS dan Android.
Persaingan dan Penguasaan Pasaran
Pengenalan pelan percuma atau pelan dengan sokongan ini dilihat mampu melonjakkan jumlah pendengar Apple Music.
Midia Research melaporkan pada 2025 jumlah pelanggan Apple Music jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pesaing utamanya Spotify.
Justeru, langkah ini dijangka dapat membantu Apple untuk terus bersaing dengan menarik lebih ramai pengguna baharu.
Percanggahan dengan Pendirian Apple
Walau bagaimanapun, penawaran pelan percuma ini dilihat bercanggah dengan prinsip barisan eksekutif Apple sebelum ini. Pada April 2026, Naib Presiden Muzik dan Kandungan Antarabangsa Apple, Oliver Schusser, menyatakan platform Apple Music tidak memerlukan tawaran pelan percuma untuk menarik perhatian pendengar.
Beliau menyatakan muzik merupakan seni yang tidak wajar ditawarkan secara percuma. Model perniagaan percuma sedemikian boleh memberikan impak negatif terhadap kelangsungan pendapatan artis serta penulis lagu. Hujah beliau senada dengan isu kadar royalti yang rendah di dalam arena penstriman muzik.
Pengenalan pelan percuma ini bagaimanapun mungkin tidak akan berlaku dalam masa yang terdekat. Apple masih mempunyai masa sama ada akan menangguhkan pelan tanpa premium ini, ataupun membatalkan keseluruhan rancangan tersebut sebelum ia dapat dilancarkan kepada umum.












