Google kini memperkenalkan ciri pengesan panggilan palsu (fake call detection) melalui aplikasi Phone pada peranti Android.
Langkah proaktif ini memfokuskan kepada usaha mengekang serangan canggih deepfake yang dikuasakan oleh teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Mekanisme Pengesahan Panggilan
Ciri keselamatan ini berfungsi seperti sebuah jabat tangan digital (digital handshake) antara dua peranti pintar. Apabila pengguna menerima panggilan daripada pihak di dalam senarai kenalan, peranti pemanggil akan menghantar satu isyarat pengesahan senyap (silent confirmation signal) dalam masa nyata.
Proses ini untuk mengesahkan panggilan yang masuk adalah sah dan benar-benar dilakukan menerusi peranti kenalan tersebut.
Bagi memastikan maklumat dan komunikasi kekal peribadi, keseluruhan sistem pengesahan ini dijana menggunakan teknologi Rich Communication Services (RCS) yang disulitkan dari hujung ke hujung (end-to-end encrypted).
Pengesanan Penyamaran Scammer
Dalam situasi di mana seorang penipu cuba menyamar menggunakan identiti kenalan pengguna, peranti penerima akan menyedari ketiadaan isyarat pengesahan awal yang sepatutnya dihantar.
Sebagai langkah semakan berganda, telefon pintar pengguna akan terus menghubungi peranti sebenar kenalan terbabit secara tersembunyi di latar belakang.
Jika peranti asal itu mengesahkan mereka tidak membuat sebarang panggilan, amaran akan dipaparkan bagi menasihati pengguna untuk menamatkan perbualan tersebut.
Syarat Penggunaan dan Ketersediaan
Ciri keselamatan ini diaktifkan secara lalai (default) tanpa memerlukan sebarang tetapan manual. Namun pengguna sentiasa mempunyai pilihan untuk mematikannya pada bila-bila masa.
Bagi memastikan fungsi ini beroperasi dengan sempurna, beberapa kriteria teknikal perlu dipenuhi:
- Kedua-dua pihak pemanggil dan penerima mestilah menggunakan sistem operasi Android.
- Kedua-duanya perlu menggunakan aplikasi Phone by Google sebagai aplikasi panggilan utama.
- Aplikasi sokongan tambahan iaitu Google Messages dan Google Contacts juga wajib dipasang pada kedua-dua peranti.
Ciri pengesan panggilan palsu ini sedang dilancarkan secara berperingkat ke seluruh dunia bermula bulan ini. Ia ditawarkan untuk semua telefon pintar yang menyokong sistem operasi Android 12 dan ke atas.
Peranti Google Pixel dilaporkan menjadi barisan telefon pintar terawal yang menerima kemas kini ciri keselamatan ini sebelum ia diperluaskan kepada ekosistem Android yang lain.











