Proton secara rasmi telah memuat naik imej acah versi kemas kini model kenderaan elektrik (EV) Proton eMAS 7. Pendedahan model baharu ini dijangka berlangsung pada 11 Jun ini bersempena dengan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026.
Peningkatan spesifikasi dijangka memfokuskan kepada penambahan kapasiti bateri dan jarak pemanduan.
Peningkatan Kapasiti Bateri dan Jarak Pemanduan
Mengambil kira ‘model kembar’nya Geely EX5 varian baharu eMAS 7 mungkin akan dilengkapkan dengan bateri LFP (Litium Ferum Fosfat). Kapasitinya juga lebih besar 68.39 kWj, peningkatan berbanding 60.22 kWj yang ditawarkan pada model eMAS 7 Premium sedia ada.
Peningkatan ini membolehkannya mencapai jarak pemanduan sehingga 475 kilometer mengikut kitaran WLTP yang dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18 inci.
Sekiranya rim 19 inci digunakan, jarak pemanduannya dianggarkan pada tahap 450 kilometer. Ia masih memberikan pertambahan sebanyak 40 kilometer berbanding versi sebelumnya.
Prestasi Motor Elektrik dan Pengecasan
Walaupun kapasiti bateri ditingkatkan, motor elektrik pada gandar hadapan kekal menghasilkan 218 kuasa kuda (160 kW) dan 320 Nm tork.
Bagaimanapun, penambahan berat sebanyak 50 kilogram akibat penggunaan bateri yang lebih besar menyebabkan masa pecutan dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) menjadi sedikit perlahan. Kurang 7.4 saat berbanding 6.9 saat pada model semasa.
Dari segi pengecasan, sokongan pengecasan pantas arus terus (DC fast charging) kekal pada kadar 100 kW. Seterusnya membolehkan bateri dicas dari 30 peratus hingga 80 peratus dalam masa 20 minit. Pengecasan arus ulang-alik (AC) sehingga 11 kW pula mengambil masa sekitar tujuh jam untuk isian penuh.
Ciri-Ciri Tambahan dan Rombakan Varian
Proton dijangka memperkenalkan varian “Premium Plus” yang akan menawarkan ciri-ciri eksklusif bagi membezakannya daripada varian sedia ada.
Antara penambahan yang dijangkakan termasuklah beg udara tengah di bahagian hadapan, dan tempat letak kaki penumpang terbina dalam (ottoman). Turut disediakan pilihan warna luaran baharu iaitu Emerald Green yang sebelum ini diperkenalkan pada model eMAS 7 versi hibrid pemalam (PHEV).
Perkembangan ini juga menimbulkan spekulasi varian asas iaitu eMAS 7 Prime mungkin akan dinaik taraf. Ia dijangka menggunakan bateri 60.22 kWj yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 430 km, menggantikan bateri 49.52 kWj yang mula dihentikan penggunaannya di China.












