WhatsApp dilaporkan sedang membangunkan perkhidmatan sandaran awanan miliknya sendiri untuk fail sandaran perbualan. Sekali gus berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada penyedia pihak ketiga seperti Google Drive dan iCloud.
Laporan itu menyatakan ciri berkenaan masih dalam pembangunan. Namun pengguna kelak mungkin boleh memilih lokasi sandaran sama ada ke storan Akaun Google atau ke penyedia milik WhatsApp sendiri.
Buat masa ini, WhatsApp tidak menawarkan penyedia storan sandaran awan khususnya sendiri. Sebaliknya bergantung pada Google Drive dan iCloud untuk menyimpan sandaran sembang pengguna.
Menurut WABetaInfo, perubahan baharu itu akan membolehkan pengguna menentukan sendiri penyedia sandaran yang ingin digunakan. Ini berdasarkan paparan awal yang dikesan pada versi Android.
Perkembangan ini dilihat signifikan kerana saiz sandaran WhatsApp boleh menjadi semakin besar dari semasa ke semasa. Sekali gus menggunakan lebih banyak ruang storan awan pengguna.
Sebelum ini, WhatsApp memang menyokong fungsi sandaran awan disulitkan sepenuhnya atau end-to-end encrypted backup untuk Google Account dan iCloud.
Ia dilaksanakan dengan perlindungan melalui kata laluan atau kunci enkripsi 64 digit. Meta turut pernah menjelaskan sistem tersebut menggunakan seni bina peti simpanan kunci sandaran bagi mengesahkan kata laluan dan memulangkan kunci penyahsulitan kepada klien WhatsApp ketika proses pemulihan sandaran dilakukan.
Laporan sama turut menyebut WhatsApp dijangka mengekalkan ciri enkripsi hujung ke hujung untuk perkhidmatan baharu ini. Ia dijalankan dengan pilihan kaedah keselamatan seperti passkey, kata laluan dan kunci 64 digit.
Platform berkenaan mungkin menawarkan storan percuma 2GB sebagai permulaan, selain pelan 50GB pada harga AS$0.99 (~RM4.00). Namun butiran ini masih belum dimuktamadkan dan boleh berubah sepanjang fasa ujian.
Setakat ini, WhatsApp belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi bagi ciri tersebut, dan bentuk akhir perkhidmatan itu juga mungkin berbeza daripada paparan awal yang tertiris.








