Utama Mobile Telco Celcom, Digi, Maxis & U Mobile sambut baik keputusan Kerajaan dalam melaksanakan...

Celcom, Digi, Maxis & U Mobile sambut baik keputusan Kerajaan dalam melaksanakan 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN)

711
0

Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile telah mengeluarkan kenyataan bersama menyambut baik keputusan kabinet meneruskan pelaksanaan 5G melalui model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dan juga tawaran pegangan saham di dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan memaklumkan pihaknya akan berhubung dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, SKMM dan pemain-pemain industri utama lain dalam memperincikan pelaksanaan 5G secara SWN termasuk cadangan pemilikan saham dan proses pemindahannya.

Keempat-empat syarikat telekomunikasi utama di Malaysia ini turut yakin kejayaan rangkaian 5G di Malaysia bergantung pada prinsip ketelusan, kemandirian dan keterjaminan pelaksanaannya oleh semua pihak.

Menerusi pengumuman yang dibuat semalam, pihak kerajaan telah menawarkan pengurangan pegangan sahamnya di dalam DNB dari 100% kepada 30%. Seterusnya, membolehkan syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit memegang baki ekuitinya 70%. Perincian pemilikan dan penilaian ekuiti bergantung pada perbincangan di antara pihak DNB dan syarikat-syarikat telekomunikasi kelak.

DNB sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan model SWN. Dalam pada masa yang sama, DNB turut menawarkan perlanjutan akses percuma rangkaian 5G yang dikendalikannya kepada syarikat-syarikat telekomunikasi sehingga 30 Jun 2022.

Buat masa ini, rangkaian DNB meliputi beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Putrajaya. Melalui usaha ke arah 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang 2024, DNB kini sedang memperluaskan liputannya ke beberapa buah negeri lain termasuk Johor.

Spektrum-spektrum rangkaian 5G DNB

DNB merupakan syarikat tujuan khas (special purpose vehicle, SPV) yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan untuk melaksanakan rangkaian 5G di Malaysia. Buat masa ini, pihak syarikat memegang satu blok 40Mhz dari spektrum 700MHz, satu blok 200Mhz dari spektrum 3.5GHz, dan satu blok 1600MHz dari spekstrum 26/28GHz (mmWave). Ericsson telah dipilih oleh DNB dari senarai 4 buah pembekal teknologi bagi pembinaan rangkaian 5G negara.

Ericsson baru-baru ini telah mengumumkan DNB merupakan rangkaian 5G komersil pertama di dunia yang menggunakan Dynamic Radio Resource Partitioning (DRP). Aspek pembelahan RAN di dalam rangkaiannya membolehkan syarikat-syarikat telekomunikasi mempunyai pengasingan tersendiri dan jaminan prestasi dalam menawarkan perkhidmatan 5G kepada pengguna masing-amsing.

Pembelahan RAN ini juga boleh mengoptimumkan agihan dan keutamaan sumber rangkaian secara dinamik bagi memenuhi jaminan SLA yang diwajibkan walaupun kesemua syarikat-syarikat telekomunikasi ini berkongsikan rangkaian yang sama.

Keempat-empat syarikat telekomunikasi berkenaan buat masa ini masih belum menyatakan bilakah pihaknya akan menerima tawaran perkhidmatan 5G melalui rangkaian 5G. Jika pelaksanaan model ini berjaya dilakukan, ia bakal menjadi contoh kepada dunia memandangkan projek-projek SWN lain di seluruh dunia menemui kegagalan atau berdepan dengan pelbagai kesukaran.

Afrika Selatan baru-baru ini telah memutuskan untuk membatalkan rancangan pelaksaan 5G melalui model SWN. Manakala di Mexico pula, agensi penguatkuasaannya telah melanjutkan sasaran asalnya kepada 4 tahun lagi kepada syarikat rangkaian 5G tunggal mereka, Red Compartida bagi menyediakan liputan kepada 92.5% kawasan berpenduduk.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.