LG dan Dell dilaporkan memasang perisian tambahan secara sembunyi pada komputer pengguna melalui sistem Windows Update tanpa sebarang kebenaran.
Berdasarkan laporan laman VideoCardz, tindakan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pengguna. Ini kerana peranti tersebut secara automatik memuat turun program yang tidak diingini sebaik sahaja monitor disambungkan.
Pemasangan Aplikasi Secara Sembunyi
Siasatan oleh saluran Gamers Nexus, mendedahkan monitor LG memuat turun perisian tanpa persetujuan pengguna. Ini termasuk pada model baharu UltraGear 34GX900A-B serta model UltraFine 32UN880-B yang telah dibeli tiga tahun lalu.
Sistem operasi memuat turun komponen aplikasi melalui Windows Update, yang kemudiannya mencetuskan pemasangan LG Monitor App Installer secara automatik di latar belakang hanya dalam masa seminit.
Isu pemasangan senyap ini bukan sekadar insiden terpencil. Ia juga berjaya direplikasi oleh pelbagai pengguna lain yang menggunakan monitor keluaran LG seawal tahun 2024 yang lalu.
Promosi Iklan McAfee
Perisian yang dipasang secara senyap ini didapati memaparkan iklan komersial yang mengganggu pengguna tanpa sebarang permintaan izin. Ujian Gamers Nexus mendapati daripada 32 proses but sistem yang dilakukan berturut-turut, sebanyak 31 daripadanya terus memaparkan pop timbul bagi promosi antivirus McAfee.
PSA: Do NOT buy an LG monitor, it automatically downloaded an app that gives me pop ups for their own apps and McAfee. This cant be legal😠pic.twitter.com/ETu7mYxp9Q
— wexos (@wexosu) July 17, 2026
Hanya satu daripada keseluruhan ujian but tersebut yang menawarkan muat turun utiliti monitor rasmi LG. Hal ini menimbulkan persoalan serius mengenai etika pengedaran perisian.
Amalan pemasangan perisian tanpa kebenaran ini tidak terhad kepada produk LG semata-mata. Ia turut dikesan pada monitor Dell serta siri peranti Alienware. Jenama tersebut didapati menggunakan pendekatan Windows Update yang serupa. Aplikasi Alienware Command Centre dipaksa masuk secara terus ke dalam sistem sebaik sahaja monitor yang serasi dikesan.
View on Threads
Wartawan kanan The Verge, Tom Warren, turut mengesahkan tindakan memuat turun perisian secara automatik oleh Dell ini sememangnya telah berlaku dan disedari sejak tahun 2024.
Langkah Pencegahan Pengguna
Bagi menghalang pemasangan ini, pengguna perlu mengubah dasar sistem kawalan Windows dengan menavigasi ke Computer Configuration > Administrative Templates > System and Devices Installation.
Penyesuaian tetapan pentadbiran tahap tinggi ini akan membolehkan sistem operasi menyekat mana-mana peranti luaran daripada memuat turun perisian secara automatik di latar belakang.
Walau bagaimanapun, ramai pihak bersetuju bahawa pengguna sama sekali tidak sepatutnya dibebani dengan kerumitan melakukan kerja teknikal sebegini semata-mata untuk mengelakkan pemasangan aplikasi luar.













