Kejohanan Badminton Terbuka Jerman 2022 baru sahaja melabuhkan tirainya. Regu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani berjaya menewaskan lawannya dari China Liu Yu Chen and Ou Xuan Yi di peringkat akhir kejohanan tersebut dan seterusnya dinobatkan sebagai juara julung kalinya buat mereka berdua.
Bagaimanapun, sesetengah pengguna internet berasa hairan dengan hadiah yang diterima pemenang-pemenang kejohanan tersebut. Ini kerana hadiah yang diterima bukanlah trofi seperti kebiasaan di mana-mana kejohanan. Sebaliknya, salah satu hadiah yang diterima oleh pemenang hadir dalam bentuk kad grafik komputer.
Mungkin ada yang merasakan harga kad grafik pada ketika sudah menjadi terlalu mahal hingga mampu menjadi pengganti kepada trofi kejohanan.
Pun begitu, sebab sebenar mengapa hadiah ini dipilih adalah disebabkan sumbangan dari penaja kejohanan tersebut, Yonex Gainward German Open 2022. Jenama Yonex sememangnya sinonim dengan pengeluar peralatan sukan seperti raket dan bulu tangkis badminton. Namun, Gainward pula mungkin agak jarang diketahui oleh kebanyakan pengguna melainkan sesetengah peminat-peminat perkakasan kad grafik.
Jenama ini merupakan anak syarikat Palit Microsystems yang berpangkalan di Taiwan. Anda mungkin mengenali Palit melalui jenama kad grafiknya yang popular seperti Galax dan KFA2. Namun, jenama Gainward ini pula sebelum ini lebih popular di pasaran Eropah dan hanya kebelakangan ini sahaja ia mula memperluaskan pasarannya ke rantau lain.
Selaku penaja utama Kejohanan Badminton Terbuka Jerman ini, adalah masuk akal jika kad grafik berjenama Gainward ini diberikan sebagai salah satu hadiah buat pemenangnya.
Kad grafik yang dimenangi oleh Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani secara spesifiknya adalah NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti. Ia menampilkan VRAM 8GB GDDR6X dan mempunyai klok dipertingkatkan 1.77GHz dengan teras CUDA 6,144.
Walauapapun hadiah yang diterima, tahniah diucapkan buat Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani kerana telah berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia!