VIBE Mobile yang dikendalikan oleh Elite Links (M) Sdn Bhd, kini telah diumumkan secara rasmi sebagai rakan kongsi Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) strategik terbaru bagi syarikat telekomunikasi U Mobile.
Menerusi kerjasama terbaharu ini, VIBE Mobile akan mendapat akses kepada infrastruktur rangkaian generasi baharu 4G dan 5G yang disediakan oleh U Mobile.
Rangkaian infrastruktur yang dibekalkan ini akan turut menyokong pelbagai bentuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh MVNO. Ini termasuk perkhidmatan data, perkhidmatan panggilan domestik dan antarabangsa, serta keupayaan perayauan (roaming).
Perjanjian akses rangkaian ini membolehkan U Mobile mengendalikan asas kesambungan mudah alih. Ini secara langsung dapat membantu VIBE Mobile untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada penjenamaan. Selain fokus kepada reka bentuk perkhidmatan serta mempertingkatkan pengalaman para pelanggan mereka.
Visi Ekosistem Digital VIBE Mobile
Ketua Pegawai Eksekutif VIBE Mobile, Joseph Lim, menyatakan VIBE disasarkan kepada pengguna generasi muda dan moden yang menghargai pengalaman dan gaya hidup digital.
Membawa falsafah “Keep Your Vibe Going”, syarikat ini komited untuk memperkenalkan produk yang lebih berkonsepkan ekosistem dan pengalaman mudah alih. Bukan sekadar penyedia sambungan perkhidmatan secara tradisi.
VIBE Mobile kini sudah menawarkan sebanyak empat variasi pelan prabayar pas 30 hari dengan tawaran harga permulaan yang serendah RM17 untuk setiap bulan.
Ini merupakan kerjasama strategik bersama MVNO kedua yang diumumkan oleh U Mobile setakat ini.
Syarikat telekomunikasi oren itu sebelum ini telah memeterai perjanjian pertama selama lima tahun bersama syarikat MVNO Eastel pada Oktober tahun lepas. Perjanjian tersebut memberikan akses rangkaian borong 4G dan 5G.
Navin Manian, Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna U Mobile berkata penambahan rakan kongsi dalam rangkaian ekosistem MVNO mereka akan mewujudkan lebih banyak inovasi dan variasi pilihan untuk rakyat Malaysia serta melahirkan persaingan telekomunikasi yang lebih dinamik dan sihat.











