Samsung meneruskan komitmennya dalam menyediakan sokongan perisian lanjutan dengan mengumumkan sebilangan peranti Galaxy lama akan menerima kemaskini perisian One UI 4.1 yang terkini. Kesemua telefon pintar mercu yang dikeluarkan sehingga sejak tiga tahun lepas dimasukkan ke dalam program naik taraf ini.
Galaxy Z Fold 3 dan Z Flip 3 keluaran tahun lepas merupakan antara peranti terawal yang menerima kemaskini berkenaan. Ia diikuti oleh Galaxy S21 dan Galaxy Tab S7 FE. Seterusnya, kemaskini tersebut akan hadir ke Galaxy S20, Z Fold, Z Flip, Note20 dan S10. Menariknya, kemaskini ini turut ditawarkan sehingga Galaxy S10 dan juga Galaxy Note 10 Plus.
Seterusnya, Samsung turut menyatakan siri Galaxy A dan Tab S turut disertakan ke dalam program naik taraf ini. Namun, tidak dinyatakan model-model yang terlibat secara spesifik.
Apa yang menarik dengan One UI 4.1 ini adalah pada penawaran pelbagai fungsi-fungsi baharu yang disediakan pada Galaxy S22 turut ditawarkan pada peranti-peranti lama Galaxy. Terdapat sejumlah ciri-ciri baharu yang diperkenalkan menerusi kemaskini One UI 4.1 dan ini antara yang wajar diketengahkan:
Penyunting Foto Expert RAW
Foto di dalam format RAW kini boleh disunting secara terus di dalam aplikasi Gallery menerusi penambahan fungsi suntingan foto Expert RAW. Kemudahan ini mengurangkan keperluan menggunakan aplikasi suntingan foto pihak ketiga atau mengeksport ke PC untuk disunting.
Buat anda yang menggunakan Galaxy S22, S21 Ultra, S20 Ultra, Note 20 Ultra, Z Fold3 atau Z Fold2, anda boleh memuat turun aplikasi Expert RAW dari gedung Galaxy Apps untuk mendapatkannya.
Magic Eraser Tool
Seterusnya, fungsi Samsung Magic Eraser kini hadir dengan penambahan ciri baharu. Secara asasnya, fungsi ini menawarkan pengguna membuang objek-objek yang tidak dikehendaki secara digital.
Kini, melalui kemaskini terbaru anda boleh membuat bayang-bayang atau pantulan di dalam foto anda.
https://www.youtube.com/watch?v=DQhOobQyNKc
Potret Malam (Night Portraits)
Fotografi waktu malam untuk peranti Galaxy lama kini menerima naik taraf melalui Night Potraits. Ciri di dalam mod fotografi ini boleh digunakan pada kamera belakang dan juga hadapan.
Foto dengan kesan khas bokeh anda kini dilihat lebih jelas di dalam keadaan kurang pencahayaan. Selain itu, mod potret kini boleh dikaburkan imej latar belakangnya dengan lebih jelas termasuk pada haiwan-haiwan berbulu.
Perkongsian foto yang ditambahbaik
Anda kini boleh berkongsikan foto dengan lebih lancar dengan penambahan fungsi baharu. Sebelum anda berkongsikan sesuatu imej, anda akan diajukan dengan cadangan suntingan.
https://www.youtube.com/watch?v=HfEOFfXQuuY
Misalnya, apabila anda berkongsikan tangkapan layar, telefon anda akan mencadangkan anda untuk memangkas (crop) bahagian bar notifikasi pada bahagian atasnya. Jika anda bersetuju dengan cadangan suntingan tersebut, ia akan terus dilaksanakan secara automatik sebelum berkongsikannya.
Live Sharing dengan Google Duo
OneUI 4.1 turut membawakan penambahbaikan di dalam Google Duo menerusi Live Sharing. Anda kini boleh berkongsikan foto, nota dan menonton video YouTube bersama=sama ketika membuat panggilan video dengan rakan dan keluarga anda.
Fungsi Live Sharing di dalam Google Duo ini hanya dikhususkan secara eksklusif pada peranti-peranti Samsung Galaxy buat masa ini.
https://www.youtube.com/watch?v=ReR6QbXR5Vs
Papan kekunci dengan integrasi perkhidmatan Grammarly
Grammarly merupakan perisian perkhidmatan pembaikan penulisan berbahasa Inggeris yang kini boleh berintegrasi dengan Samsung Keyboard. Selain pembetulan ejaan, Grammarly juga mencadangkan perkataan alternatif atau membetulkan semula struktur ayat agar lebih tepat penyampaiannya.
Fungsi membetulkan semula struktur ayat ini bagaimanapun hanya ditawarkan pada versi premium sahaja. Buat masa ini, pengguna Samsung yang layak boleh menggunakan fungsi premium Grammarly ini secara percuma selama 90 hari. Fungsi ini dimatikan secara lalai (default) dan anda perlu menghidupkannya di dalam aplikasi menerusi tetapan papan kekunci peranti anda.
https://www.youtube.com/watch?v=zoFFY7XWIdY
Penawaran ciri-ciri baharu ke peranti-peranti Galaxy lama mampu memberikan nilai tambah buat peranti berkenaan. Hal ini dapat membantu pengguna memanfaatkan sepenuhnya peranti-peranti lama yang masih lagi lasak digunakan seperti siri Galaxy S10.
Seperti yang pernah dinyatakan ketika pelancaran siri Galaxy S22, Samsung menyatakan komitmennya untuk menyediakan kmeaskini keselamatan selama 5 tahun untuk perantinya dan naik taraf sehingga ke 4 versi utama sistem operasi Android. Langkah ini merupakan satu tindakan yang wajar dalam penyediaan sokongan jangka panjang bagi pengguna yang ingin menggunakan peranti kesayangan masing-masing bagi satu tempoh yang lebih lama.