Utama Mobile Telco DNB melanjutkan akses 5G Percuma kepada Telco sehingga Hujung Jun 2022

DNB melanjutkan akses 5G Percuma kepada Telco sehingga Hujung Jun 2022

539
0

Digital Nasional Berhad (DNB) mengumumkan perlanjutan tempoh ujian komersil rintis dengan syarikat telekomunikasi untuk tiga bulan lagi. Ujian tersebut pertama kali diumumkan pada Disember tahun lalu bertujuan memudahkan syarikat telekomunikasi beralih ke rangkaian 5G DNB dengan lebih mudah.

Sebelum ini tempoh ujian rintis berkenaan ditetapkan tamat pada 31 Mac, namun melalui perubahan terbaru ini tarikh akhirnya adalah pada 31 Jun 2022. Sepanjang tempoh tersebut, syarikat-syarikat telekomunikasi dapat memanfaatkan rangkaian 5G DNB tanpa sebarang kos.

Setakat ini, hanya TM dan Yes (YTL Communication) menyatakan persetujuan menggunakan rangkaian 5G tersebut. Hanya Yes sahaja yang telah mula menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan-pelanggannya.

TM pula dilaporkan masih lagi menjalankan pengujian peringkat dalamannya dan akan mengumumkan pelan 5G sendiri selepas tarikh ujian rintis sebelum ini tamat. Bagaimanapun, perubahan terbaru yang diumumkan oleh DNB ini mencetuskan tanda tanya mengenai status ujian dalaman yang dijalankan oleh TM tersebut.

Berdasarkan perkembangan terbaru yang berlaku sepanjang hari ini, syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile dijangka akan menyertai rangkaian 5G dari DNB tersebut tidak berapa lama lagi.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.