Acara Samsung Galaxy Unpacked pada minggu lepas turut memperkenalkan kemas kini One UI 9 yang berasaskan Android 17. Menerusi kemas kini perisian ini, Samsung melaksanakan dasar keselamatan skrin kunci yang lebih ketat. Peranti akan dikunci secara kekal jika kata laluan gagal dimasukkan sebanyak 13 kali berturut-turut.

Sistem keselamatan baharu ini mengehadkan jumlah percubaan yang salah bagi nombor PIN, kata laluan, mahupun corak. Pengguna dibenarkan melakukan empat percubaan gagal sebelum dikenakan sekatan sementara selama satu minit pada percubaan kelima.

Tempoh penalti ini akan terus meningkat secara berperingkat dengan setiap kesilapan, sehinggalah peranti dikunci selama 24 jam pada percubaan ke-12. Jika pengguna masih gagal pada percubaan ke-13, sistem akan mengaktifkan sekatan kekal tanpa sebarang pemasa pemulihan.

Satu-satunya jalan penyelesaian untuk memulihkan peranti yang telah dikunci secara kekal adalah dengan melakukan proses tetapan semula kilang (factory reset). Tindakan ini akan memadamkan keseluruhan data di dalam telefon pintar tersebut.

Ini bermakna apa-apa fail yang tidak disandarkan akan hilang keseluruhannya. Samsung juga mengesahkan pihaknya tidak mempunyai keupayaan untuk membuka kunci peranti secara kawalan jauh.

Pengesahan Pemilik Asal

Walaupun data telah dipadam, pengguna tetap perlu memasukkan log masuk bertauliah (credential) ke akaun Google atau Samsung yang terakhir digunakan pada peranti berkenaan.

Langkah ini dikuatkuasakan bagi melepasi kunci Perlindungan Tetapan Semula Kilang (Factory Reset Protection, FRP) untuk membuktikan pengesahan pemilik asal peranti. Kegagalan menyediakan pentauliahan (credential) yang tepat akan menyebabkan telefon pintar itu tidak boleh diakses langsung.

Perubahan drastik terhadap dasar keselamatan ini bermatlamat mencegah serangan brute-force. Kaedah tersebut digunakan dengan meneka kata laluan berulang kali secara automatik untuk mencuri data.

Bagi mengelakkan pemilik sah terkunci secara tidak sengaja, sistem kini memaparkan amaran yang jelas berhubung baki percubaan yang tinggal di skrin. Sebagai langkah perlindungan tambahan, sebarang kemasukan kata laluan salah yang sama secara berturut-turut hanya akan dikira sebagai satu percubaan gagal.

Pengguna disarankan supaya sentiasa mengingati kata laluan mereka memandangkan polisi teras Android mewajibkan pengesahan PIN atau corak setiap 72 jam, biarpun fungsi imbasan biometrik diaktifkan.

Buat masa ini, polisi sekatan kekal ini hanya terpakai secara terbina untuk siri pelancaran One UI 9.0 seperti Galaxy Z Fold8, Fold8 Ultra, dan Z Flip8. Masih belum ada kepastian sama ada model peranti lama yang menerima kemas kini sistem operasi ini kelak akan turut tertakluk kepada dasar keselamatan yang serupa.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.