TANJONG MALIM, 27 Julai 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama institusi di persada antarabangsa apabila berjaya meraih Pingat Emas pada 11th International Invention Innovation Competition in Canada (iCAN) 2026 menerusi inovasi GeoAttendance yang dibangunkan bagi menyelesaikan cabaran pengurusan kehadiran staf menggunakan teknologi geolokasi.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan itu diperoleh selepas projek bertajuk “GeoAttendance: Solving UPSI’s Staff Attendance Challenges with Geolocation Technology” melepasi peringkat saringan awal berdasarkan penilaian panel juri pertandingan, sekali gus dipilih sebagai finalis untuk meneruskan penyertaan ke peringkat iCAN 2026 “The Finals”.
“Berdasarkan Keputusan Penilaian Awal dan Surat Pengesahan Finalis bertarikh 24 Julai lalu, projek GeoAttendance berjaya memperoleh pengiktirafan Pingat Emas dan berpeluang merebut anugerah tambahan pada peringkat akhir pertandingan inovasi antarabangsa berkenaan.
“Bagi meneruskan penyertaan ke peringkat akhir, pasukan GeoAttendance akan menyediakan dan menghantar video pembentangan projek berdurasi maksimum lima minit sebelum 10 Ogos 2026. Video berkenaan akan dinilai oleh panel juri bagi menentukan pemenang anugerah tambahan pada peringkat “The Finals” dan turut berpeluang dipaparkan dalam iCAN 2026 “The Finals” Movie,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guna Teknologi Geolokasi
Menurut Dr Md Amin, GeoAttendance mengetengahkan pendekatan penggunaan teknologi geolokasi sebagai penyelesaian inovatif terhadap cabaran perekodan dan pengurusan kehadiran staf di UPSI, sekali gus menawarkan sistem digital yang lebih cekap, praktikal dan memenuhi keperluan sebenar pengurusan institusi.
Pasukan GeoAttendance UPSI dianggotai oleh Ketua Pegawai Digital Pusat ICT UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad; Pensyarah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Dr. Ahmad Wiraputra Selamat; Pegawai Teknologi Maklumat Kanan Pusat ICT, Ts. Abdul Mueiz Rosli serta Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Kanan Pusat ICT, Prabu Tharmalingam.
Sementara itu, Ts. Dr. Megat Azrin berkata kejayaan tersebut membuktikan bahawa inovasi digital yang dibangunkan secara dalaman oleh warga UPSI mempunyai nilai, kebolehgunaan dan potensi impak yang mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini amat bermakna buat UPSI kerana GeoAttendance dibangunkan bagi memenuhi keperluan sebenar universiti dalam aspek pengurusan kehadiran staf. Pengiktirafan di iCAN 2026 membuktikan bahawa penyelesaian digital yang dihasilkan oleh warga universiti mampu memenuhi standard inovasi antarabangsa,” katanya.
Himpunan Pencipta, Inovator, Penyelidik dan Usahawan dari Seluruh Dunia
iCAN merupakan antara pertandingan inovasi berprestij yang berpangkalan di Toronto, Kanada ini menghimpunkan pencipta, inovator, penyelidik dan usahawan dari seluruh dunia, dengan penyertaan melibatkan 98 negara dan wilayah pada edisi-edisi terdahulu.
Penganjuran iCAN 2026 yang memasuki edisi ke-11 pada tahun ini dilaksanakan secara dalam talian, sekali gus membuka ruang penyertaan yang lebih luas kepada komuniti inovasi antarabangsa
Kejayaan di iCAN 2026 turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Pingat Emas kelapan yang berjaya diraih oleh GeoAttendance menerusi penyertaannya dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak tahun 2024.
Terdahulu, projek GeoAttendance pernah merangkul Pingat Emas dalam Virtual Innovation Competition Exhibition 2024 yang turut menyaksikannya muncul Johan Kategori Pentadbiran, International Innovation ARSVOT Malaysia 2024, Kuala Lumpur International Invention & Innovation Symposium 2025 yang turut menerima Top 5 Award Ideator dan Design Innovation Award, International Education Innovation Competition Edu@Innovate 2025, 2nd International Development, Research and Innovation Exhibition 2025 yang tersenarai dalam Top 10 Best Project Finalist, Borneo International Technology and Expo 2025 serta 50th International Convention on Quality Control Circles 2025 di Taipei.












