Digital Nasional Berhad (DNB) hari ini telah mengumumkan rangkaian 5G di Cyberjaya dan Putrajaya, serta beberapa kawasan di Kuala Lumpur akan mula dibuka kepada orang ramai pada 15 Disember ini.
Bagaimanapun, DNB tidak menyatakan nama-nama syarikat telekomunikasi yang akan terlibat pada tarikh tersebut. Semalam, TM telah mengumumkan pelanggan pascabayar Unifi Mobile di ketiga-tiga lokasi tersebut akan menerima akses ke rangkaian 5G tidak berapa lama lagi.
Dalam pada masa yang sama, TM juga telah mengesahkan pihaknya akan melaksanakan pengujian 5G yang merangkumi optimasi perkhidmatan bersama-sama DNB. Walaubagaimanapun, pihak syarikat tidak menjelaskan bagaimana pelanggan Unifi Mobile yang menjalani pengujian berkenaan mengakses ke rangkaian 5G tersebut.
Menurut DNB, pengguna dapat menikmati kelajuan minima 100Mbps jika berada di lokasi isyarat rangkaian 5G paling lemah dalam kawasan liputan. Sejauh mana kebenaran tersebut dapat dibuktikan? Sama-sama kita menantikannya.