HONOR secara rasmi mengesahkan bahawa peranti terbaharunya, Robot Phone, akan membuat penampilan sulung di peringkat global pada bulan Ogos 2026.
Pengumuman pelancaran yang dibuat melalui akaun rasmi X HONOR Global ini turut diiringi dengan pengenalan identiti baharu syarikat pengeluar peranti pintar tersebut.
Pelancaran tersebut pada awalnya mensasarkan pada suku ketiga 2026, serentak dengan pelancaran identiti jenama baharu HONOR. Dijangkakan turut diperkenalkan bersama logo membulat dan slogan “Dare To Be” yang menggambarkan keberanian menongkah arus konvensional industri teknologi.
From subverting industry standards,
To breaking the boundaries of mobile design.
Dare to imagine. Dare to be different.
HONOR Robot Phone. Coming this August. #HONOR #HONORRobotPhone pic.twitter.com/O84OSA5BeS— HONOR (@Honorglobal) July 23, 2026
Robot Phone dipilih sebagai salah satu produk perintis utama yang menterjemahkan cita-cita inovatif syarikat tersebut ke dalam bentuk komersial.
Selepas dipertontonkan pada acara MWC 2026 dan WAIC 2026, peranti ini tampil berbeza menerusi modul kamera belakang yang boleh bertukar menjadi gimbal robotik (sistem penstabil mekanikal) tiga paksi.
Pergerakan kamera ini disepadukan dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) menerusi fungsi Penjejakan Objek AI yang membolehkan lensa mengikuti pergerakan subjek secara automatik ketika merekod video.
Peranti pintar ini turut memaparkan animasi skrin yang ekspresif bagi meniru emosi untuk memperkukuh interaksi mesra pengguna bersama sistem robotiknya.
Berdasarkan maklumat daripada kempen pra-tempahan di China, Robot Phone dijangka akan dikuasakan oleh Snapdragon 8 Elite daripada Qualcomm. Peranti premium ini turut dijangka menggunakan skrin paparan OLED bersaiz 6.8 inci yang menawarkan kelancaran skrin melalui sokongan kadar segar semula 120Hz.
Bagi menyokong perkakasan kamera mekanikalnya yang unik, peranti ini dilaporkan hadir dengan bateri berkapasiti besar berserta sokongan teknologi pengecasan pantas berwayar.
Sehingga kini, HONOR masih belum mendedahkan senarai pasaran atau negara spesifik yang menawarkan Robot Phone ini secara rasmi. Butiran terperinci mengenai harga serta ketersediaan peranti tersebut dijangka akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang menjelang hari pelancaran.












