Digital Nasional Berhad (DNB) mengumumkan pengaktifan tambahan spektrum 5G sebanyak 100MHz di seluruh rangkaiannya.

Pengaktifan tersebut mengembalikan pegangan penuh 200MHz spektrum jalur tengah (mid-band) syarikat tersebut.

Langkah ini menandakan fasa seterusnya bagi DNB sebagai penyedia infrastruktur 5G nasional dalam mempertingkat kapasiti dan prestasi rangkaian negara.

Pengumuman ini dibuat pada hari yang sama U Mobile melengkapkan proses penghijrahannya keluar daripada infrastruktur DNB. Ini juga merupakan sebahagian daripada strategi peralihan Malaysia ke arah model dwirangkaian 5G.

Pengembalian Kapasiti Spektrum 200MHz

DNB kini mengaktifkan peruntukan spektrum 3.3GHz hingga 3.4GHz (dikenali sebagai “F-Zero”) bersama-sama blok 3.4GHz hingga 3.5GHz yang sedia ada.

Gabungan kedua-dua blok berterusan ini membentuk 200MHz, menjadikannya pegangan spektrum jalur tengah yang terbesar di Malaysia pada masa ini.

Setakat ini, lebih 50 tapak telekomunikasi telah dinaik taraf dengan peruntukan baharu ini, manakala kerja-kerja naik taraf di lokasi lain akan menyusul secara berperingkat.

Kapasiti baharu ini mengembalikan spektrum asal yang dimiliki DNB sebelum kerajaan beralih kepada pendekatan dwirangkaian.

Sebelum ini, DNB telah melepaskan blok 100MHz (3.5GHz hingga 3.6GHz) yang kemudiannya diserahkan kepada U Mobile untuk pembinaan rangkaian 5G kedua negara.

Perkembangan ini adalah susulan daripada Arahan Menteri mengenai Pelaksanaan Rangkaian 5G yang dikeluarkan pada Oktober tahun lalu.

Arahan tersebut memberikan mandat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memperuntukkan semula blok 100MHz kepada DNB tanpa memberi kesan negatif kepada pengguna atau kesinambungan perkhidmatan 5G sedia ada.

Kelebihan Kapasiti dan Ketersediaan Masa Depan

Penambahan spektrum ini tidak memberikan kelajuan muat turun individu akan meningkat secara mendadak. Ia bertujuan meluaskan kapasiti keseluruhan rangkaian secara drastik.

Kapasiti yang lebih besar ini membolehkan DNB menampung lebih ramai pengguna serentak di kawasan yang padat dengan trafik seperti pusat bandar, hab pengangkutan awam, pusat beli-belah, dan acara awam yang berskala besar.

Ini membolehkan syarikat telekomunikasi yang kekal bersama DNB, termasuk CelcomDigi, Maxis, dan YTL Communications (Yes 5G), menawarkan prestasi 5G yang lebih konsisten kepada pelanggan masing-masing.

Penambahan kapasiti ini juga menyediakan ruang yang lebih luas untuk menyokong aplikasi perusahaan masa depan. Antaranya Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda Industri (IoT), automasi, pelaksanaan 5G peribadi (private 5G), serta teknologi 5G-Lanjutan yang selari dengan corak penggunaan pengguna tempatan.

Menurut DNB, penggunaan data mudah alih di Malaysia telah meningkat dua kali ganda. Sebelum ini sekitar 19GB bagi setiap pengguna sebulan semasa era pandemik COVID-19 kepada kira-kira 40GB pada masa kini.

Kadar penerimaan 5G negara juga telah melepasi tahap 88 peratus, mewakili lebih daripada 30.3 juta langganan.

Operasi DNB Kekal Kukuh

Dalam pada itu, DNB memberi jaminan bahawa ketiadaan U Mobile dalam rangkaiannya tidak akan menjejaskan operasi atau komitmen liputan yang telah ditetapkan.

Perkhidmatan 5G akan diteruskan seperti biasa untuk rakan penyedia perkhidmatan dan pemegang saham yang lain.

DNB menyatakan pihaknya masih mengendalikan majoriti trafik 5G di Malaysia. Syarikat pemegang sahamnya iaitu CelcomDigi, Maxis, dan YTL Communications secara kolektif menawarkan perkhidmatan kepada sekitar 30 juta pengguna. Ketiga-tiga syarikat ini juga telah melabur lebih daripada RM2 bilion ke dalam DNB setakat ini.

Untuk perancangan masa depan, DNB akan terus memberi fokus kepada peluasan kawasan liputan, penaiktarafan kapasiti rangkaian, dan pengukuhan sokongan untuk ekosistem pendigitalan perusahaan di Malaysia.

Tinggalkan komentar