Malaysia akan kembali menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun, bermula 2 hingga 4 Oktober 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air F1.

Kerjasama Antarabangsa

Beliau menyifatkan penganjuran sukan bertaraf dunia ini sebagai bukti persahabatan yang kukuh dan kepercayaan bersama antara negara Malaysia dan Bahrain.

Beliau turut berkesempatan berbincang mengenai jalinan kerjasama ini dengan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa, serta Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.

GP Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung pada bulan April. Namun terpaksa ditangguhkan ke bulan Oktober akibat ketegangan geopolitik yang melanda rantau Asia Barat.

Rentetan daripada perubahan jadual tersebut, perlumbaan yang dipindahkan ke litar Sepang ini akan mengambil tempat di antara penganjuran GP Azerbaijan dan GP Singapura. Pihak

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), yang bertindak sebagai badan induk sukan permotoran dunia, memilih Sepang kerana cuacanya yang tidak menentu serta susun atur litar yang mencabar.

Perjanjian bersejarah ini mendapat perkenan rasmi daripada Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim.

SIC merupakan salah satu litar ikonik yang pernah menjadi tuan rumah untuk perlumbaan GP Malaysia secara tahunan bermula dari 1999.

Walau bagaimanapun, penganjuran sukan permotoran tersebut terpaksa dihentikan pada tahun 2017 dan dikeluarkan daripada kalendar rasmi F1 berikutan faktor peningkatan kos operasi serta yuran pelesenan.

Kepulangan acara berprestij ini pada tahun 2026 dijangka akan menghidupkan semula keterujaan peminat sukan permotoran tanah air.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.