Utama Android Samsung Samsung Galaxy A73 5G kini boleh menggunakan rangkaian 5G DNB

Samsung Galaxy A73 5G kini boleh menggunakan rangkaian 5G DNB

636
0

Digital Nasional Berhad (DNB) telah mengumumkan Samsung Galaxy A73 5G kini boleh menggunakan rangkaian 5G Malaysia. Ia hadir tidak lama selepas Samsung telah menerbitkan kemaskini perisian bagi menyokong rangkaian 5G untuk Galaxy S21 dan S22.

Yes 5G buat masa ini merupakan satu-satunya syarikat telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan 5G di Malaysia setakat ini. Buat pelanggan Yes 5G yang menggunakan Samsung Galaxy A73 5G, anda boleh membuat semakan kemaskini perisian dengan pergi ke Settings > Software Update. Melalui kemaskini terbaru ini, anda sepatutnya dapat menyambungkan ke rangkaian 5G jika anda berada di dalam kawasan liputan rangkaian 5G DNB.

Buat masa ini, rangkaian 5G DNB hanya boleh didapati di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Putrajaya, serta beberapa tempat baharu di sekitar Johor Bahru dan Selangor.

Sungguhpun rangkaian 5G DNB telah mula beroperasi sejak dari Disember 2021, tidak semua peranti 5G menyokong rangkaian tersebut. Menurut DNB, pihaknya tidak bertanggungjawab dalam memberikan persijilan dan memperakukan peranti 5G. Persijilan peranti 5G dibuat oleh SIRIM mengikut garis panduan dari SKMM.

Kebanyakan telefon pintar buatan China seperti Oppo, Realme, Xiaomi, Poco dan Vivo sudah boleh menggunakan rangkaian 5G DNB berkenaan. Cuma peranti dari jenama seperti Apple dan Samsung sahaja yang memerlukan proses yang berbeza seperti kemaskini perisian.

Apple hanya menyenaraikan empat syarikat telekomunikasi tempatan sahaja iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile sahaja yang disokong oleh peranti-perantinya. Oleh kerana Yes 5G tidak termasuk di dalam senarai tesebut, pengguna iPhone tidak boleh menggunakan semua ciri ketersambungan padanya termasuk VoLTE untuk membuat panggilan bersuara.

Anda yang berminat untuk mencuba rangkaian Yes 5G, anda boleh membuat permohonan untuk mendapatkannya secara percuma untuk menikmati rangkaian 5G tanpa had secara percuma selama 30 hari.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.