Samsung pada hari ini telah mengumumkan sokongan 5G untuk peranti-perantinya di Malaysia. Buat masa ini, sokongan 5G ini hanya disediakan untuk Galaxy S21, Galaxy S21+ dan Galaxy S21 Ultra. Peranti-peranti Samsung 5G lain akan menyusul dalam tempoh terdekat ini.
Untuk mula mendapatkan sokongan 5G ini, pengguna siri Galaxy S21 boleh memuat turun dan memasang kemaskini One UI 4.1. Kemaskini berkenaan sudah mula ditawarkan sejak awal bulan ini lagi. Telefon-telefon pintar 5G yang berkenaan juga perlu menggunakan kad SIM 5G dan perlu berada di dalam kawasan liputan 5G.
Ketika ini, hanya Yes sahaja yang menyediakan akses 5G kepada pengguna menerusi dua pelan 5G yang telah dilancarkan pada Disember tahun lalu.
Tiada sebarang perkembangan terkni berhubung pelaksanaan 5G oleh TM untuk pelanggan Unifi Mobile sungguhpun telah menandatangani dengan Digital Nasional Berhad (DNB).
Samsung menyatakan kesediaan pihaknya memberikan komitmen untuk menyediakan sokongan 5G pada lebih banyak peranti keluarannya melalui kerjasama erat dengan DNB dan juga syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.
Rangkaian 5G buat masa ini merangkumi sebahagian kawasan di Kuala Lumpur, Cyberjaya, Rawang dan Johor Bahru. Pihak DNB juga sedang memperluaskan liputan kepada 37.9% kawasan berkependudukan di seluruh Malaysia menjelang akhir 2022.