Rangkaian 5G Digital Nasional Berhad (DNB) mula beroperasi pada 15 Disember 2021 dan kini sedang menawarkan akses percuma kepada syarikat-syarikat telekomunikasi sehingga hujung Mac 2022.
Yes merupakan syarikat telekomunikasi pertama dan satu-satunya yang menawarkan perkhidmatan 5G di Malaysia. Buat masa ini, tidak semua peranti 5G boleh mengakses ke rangkaian 5G berkenaan dan peranti seperti iPhone dan Samsung antara sebahagian daripadanya.
Rentetan dari isu tersebut, DNB tampil memberikan penjelasan lebih lanjut menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasminya.
Menurut DNB, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pengeluar untuk memanfaatkan rangkaian 5G di Malaysia. Kenyataan tersebut turut menjelaskan sokongan 5G pada peranti-peranti bergantung kepada pengeluar masing-masing.
Pihak DNB juga menerangkan bahawa pihaknya tidak mempunyai peranan untuk memberikan persijilan peranti-peranti 5G di Malaysia.
Bagaimanapun, pihaknya turut menyediakan kemudahan kepada pengeluar untuk melakukan pengujian seperti ujian statik permulaan dan pelbagai ujian lain bagi memastikan pengeluar dapat memastikan peranti keluarannya dapat disesuaikan dengan rangkaian 5G tempatan.
Bagi persijilan peranti 5G pula, ia dilakukan oleh SIRIM di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Kenyataan rasmi oleh DNB ini dikeluarkan susulan dari laporan oleh portal Amanz berkenaan DNB membuang Samsung dari senarai peranti yang disokongnya.
Ketika pelancarannya pada 15 Disember 2021, laman web DNB telah menyenaraikan peranti-peranti yang disokongnya merangkumi Galaxy S21, S21+ dan S21 Ultra. Peranti Samsung lain seperti siri Galaxy A dan juga peranti mercunya iaitu Galaxy Note 20, S20, serta Z Fold dan Flip disenaraikan sebagai peranti yang akan disokong kelak (Upcoming).