Selepas pemasangan perkhidmatan internet Starlink pertama di UiTM, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengumumkan lokasi kedua Starlink akan dibuat di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah, Selangor. Menurut beliau, kualiti internet di kawasan tersebut amat teruk sungguhpun mempunyai penduduk seramai 135 orang.
Beliau juga menyatakan matlamatnya untuk mengutamakan baki 3% kawasan berpenduduk yang tidak menerima liputan internet masih lagi kekal sama.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah diarahkan untuk melakukan kajian lebih lanjut kaedah penyelesaian jangka panjang seperti membina tiang pemancar mudah alih baharu dan meluaskan liputan rangkaian internet fiber.
Kampung Orang Asli Hulu Kemensah terletak di dalam daerah Gombak, Selangor. Anda boleh pergi ke sana menggunakan lebuhraya MRR2 dan masuk melalui simpang keluar ke Zoo Negara. Sungguhpun kawasan ini tidak begitu jauh dengan kawasan bandar, semakan di dalam peta liputan mudah alih JENDELA mendapati tidak begitu menyeleuruh dan tiada sokongan rangkaian 4G.
Apabila saya turun ke sana pagi tadi, kualiti internet sedia ada sangat teruk. Hampir tiada. Sedangkan ada 135 penduduk yang tinggal di sana.
Matlamat saya masih sama, iaitu memastikan baki 3 peratus kawasan berpenduduk yang masih tiada internet, diberi keutamaan. pic.twitter.com/YkK6xRBluB
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) August 11, 2023
Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan pihak kerajaan telah memesan 40 buah set jalur lebar satelit Starlink selepas mengadakan pertemuan secara maya dengan Elon Musk.
Pada minggu yang sama juga, SKMM telah memberikan Starlink lesen untuk mengendalikan perkhidmatan internet jalur lebar satelitnya di Malaysia.
Perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink buat masa ini telah tersedia di Malaysia dan menawarkan jalur lebar satelit 100Mbps pada harga RM220 sebulan. Kit permulaan satelit jalur lebarnya berharga RM2,300 untuk Standard dan RM11,613 untuk kit High-Performance bersama-sama bayaran penghantaran RM100.
Akhbar New York Times baru-baru ini telah melaporkan beberapa pemimpin dunia menyatakan kebimbangan terhadap perkhidmatan Starlink terutamanya melibatkan monopoli serta aspek kawal selianya yang longgar oleh badan bertanggungjawab.