Utama Automotif PM Anwar Ibrahim bincang mengenai Tesla, Starlink dengan Elon Musk

PM Anwar Ibrahim bincang mengenai Tesla, Starlink dengan Elon Musk

248
0
Anwar Ibrahim Meeting Zoom Elon Musk

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan usahawan teknologi terkemuka dunia Elon Musk mengenai pelaburannya di Malaysia.

Jumaat lalu, Perdana Menteri berbincang mengenai pelancaran kenderaan elektrik Tesla dan juga perkhidmatan internet satelit Starlink di Malaysia dalam sesi mesyuarat dalam talian yang berlangsung selama 25 minit dengan Elon Musk.

“Saya mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia,” kata Perdana Menteri di dalam kenyataannya baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, pengeluar kenderaan yang berpangkalan di Texas berkenaan akan mendirikan ibu pejabatnya di Selangor pada tahun ini. Tambah beliau lagi, Malaysia akan terus komited mencapai sasaran pelepasan karbon sifar seawal 2050.

“Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” ujar beliau.

Tesla pada awal bulan ini telah mengumumkan SUV Model Y keluarannya akan mula dijual di Malaysia pada 20 Julai 2023 selepas permohonan mengimport kenderaan mendapat kelulusan dari pihak berkuasa.

Perdana Menteri juga menyatakan beliau turut sama berbincang mengenai bagaimana penggunaan Starlink mampu menyediakan talian internet yang lebih luas dan pantas di Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” katanya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.