Ketika membeli telefon pintar baharu, anda mungkin pernah melihat singkatan bagi terma-terma rangkaian seperti CDMA, 3G, GSM, LTE, UMTS, 4G, NFC dan sebagai. Selain itu, terma-terma lain berkaitan rangkaian seperti 4G, LTE, VoLTE dan 5G juga jelas terpampang pada sesetengah model telefon pintar.
Secara ringkasnya, huruf “G” yang di dalam 4G membawa maksud “Generasi”. Ini kerana 4G merupakan generasi keempat di dalam perubahan teknologi data mudah alih menurut sektor Radio Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa atau International Telecommunication Union (ITU-R). Manakala maksud LTE pula adalah singkatan untuk “Long Term Evolution” dan dirujuk secara amnya pada pembangunan kelajuan jalur lebar tanpa wayar untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat.
Isi Kandungan
Apa itu 3G?
Apabila rangkaian 3G mula dilaksanakan, ia telah menggantikan 2G. Protokol rangkaian yang ditawarkan oleh 2G adalah tahap rangkaian asas yang kini dianggap perlu ada pada mana-mana telefon pintar seperti fungsi membuat panggilan telefon, permesejan teks asas dan MMS.
Melalui pengenalan 3G, format data yang lebih besar dapat diakses termasuklah halaman HTML biasa, video dan muzik. Kelajuannya masih lagi dianggap sebagai perlahan, tetapi jauh lebih baik berbanding sambungan 2G yang digunakan sebelum itu.
Apa itu 4G?
ITU-R telah menetapkan piawaian sambungan 4G pada bulan Mac 2008. Bagi kegunaan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet, kelajuan sambungan yang perlu dipatuhi sekurang-kurangnya 100 MB/s dan untuk stesen pemancar pula perlu sekurang-kurangnya 1GB/s.
Sewaktu piawaian ini diumumkan, ramai yang tidak menyangka ianya boleh dicapai memandangkan kelajuan berkenaan pada kebiasannya digunakan oleh para pembangun teknologi. Namun, lama-kelamaan pembangunan teknologi sambungan mudah alih telah pun ada yang mampu mencapai apa yang telah ditetapkan oleh ITU-R sebagai 4G.
Apakah maksud LTE?
LTE membawa maksud “Long Term Evolution” atau “Evolusi Jangka Panjang”. Ia tidak ditakrifkan sebagai teknologi kerana dan ia lebih merujuk kepada usaha ke arah 4G. Oleh itu, apabila telefon pintar anda memaparkan simbol 4G pada sambungannya, ia tidak semestinya mampu mencapai kelajuan mengikut piawaian ITU-R.
Ini kerana pada peringkat awal pembangunan rangkaian 4G dahulu, tahap minima kelajuan 4G sebenar yang ditetapkan oleh ITU-R masih lagi sukar dicapai pada ketika itu. Ia sukar dicapai walaupun syarikat-syarikat teknologi telah membuat pelaburan yang besar untuk membangunkan teknologi komunikasi baharu tersebut.
Untuk itu, badan piawaian berkenaan telah bersetuju untuk membenarkan istilah LTE dilabelkan sebagai 4G. Itupun dengan syarat kelajuan yang ditawarkan adalah jauh lebih baik dari sambungan 3G.
Atas sebab itu, penyedia-penyedia rangkaian mula memasarkan rangkaian mereka sebagai 4G LTE tanpa perlu mematuhi syarat minima untuk mencapai tahap 4G yang sebenar.
Kebanyakan teknologi 4G “generasi pertama” ini seperti Mobile WiMAX dan HSPA+ tidak memenuhi spesifikasi 4G sepenuhnya. Tambah mengelirukan lagi, pada Oktober 2010, ITU-R telah menyiapkan penilaian enam calon yang dibenarkan untuk menggunakan terma ini bagi menepati keperluan lengkap piawaian 4G yang telah dirancangkan.
Terma LTE-A (Long Term Evolution Advanced) turut digunakan oleh sesetengah penyedia rangkaian untuk menyatakan tahap teknologi yang ditawarkan mereka kini semakin hampir mencapai tahap kelajuan 4G sebenar. Berbanding LTE, rangkaian LTE-A dianggap lebih pantas dan lebih stabil.
Beza Kelajuan rangkaian 4G dan LTE
Jadi soalnya, adakah kita dapat merasai perbezaan kelajuan diantara 4G dan LTE? Mungkin tidak ada perbezaan diantara kedua-duanya melainkan anda tinggal di bandar-bandar utama yang mempunyai penduduk berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur, Tanjung, Johor Bahru dan sebagainya.
Kelajuan LTE-A yang ditawarkan oleh teknologi rangkaian setakat ini merupakan sambungan rangkaian tanpa wayar terpantas yang boleh digunakan oleh orang ramai. Bagaimanapun, menjelang kehadiran teknologi 5G yang diwar-warkan bakal dilancarkan kepada pengguna umum pada tahun ini, keadaan landskap teknologi perhubungan mudah alih di serata dunia termasuk di Malaysia bakal berubah tidak berapa lama lagi.
Kesesuaian sambungan
Syarat sah rangkaian 4G memerlukan dua komponen; pertama, rangkaian yang menyokong kelajuan yang diperlukan dan yang kedua, peranti yang boleh bersambungan ke rangkaian serta memuat turun pada kelajuan yang telah ditetapkan.
Ini bermakna, jika anda memiliki telefon pintar yang dilengkapi sambungan 4G LTE, ia tidak menjadikan anda terus mampu memuat turun pada kelajuan 4G sekiranya rangkaian disekitarnya tidak menawarkan sokongan untuk sambungan berkenaan. Seperti sebuah kereta yang mempunyai kelajuan maksimum 220km/j, tetapi anda tidak boleh suka-suka hati memandunya pada kelajuan berkenaan jika memasuki kawasan had lajunya adalah 30km/j di jalan-jalan di dalam taman perumahan.
Piawaian 4G “Sebenar”
LTE-Advanced dan Wireless MAX-Advanced merupakan teknologi rangkaian yang mampu mencapai spesifikasi “4G Sebenar”. Cumanya, LTE-A sahajalah yang kita biasa jumpa dan digunakan pada masa ini.
Untuk teknologi rangkaian lain seperti LTE, WiMAX, atau HSPA+, kelajuan sambungannya tidak sepantas rangkaian LTE-A dan WiMAX-Advanced.
LTE atau seperti yang biasa diiklankan sebagai 4G LTE pun secara teknikalnya tidak mampu mencapai spesifikasi yang telah ditetapkan. Bagi membezakan antara LTE-A dan WiMAX Advanced dengan teknologi 4G semasa, ITU-R telah mendefinisikannya sebagai ‘4G Sebenar”, tapi terma ini jarang-jarang kita dengar.
Piawaian | HSPA+ | WiMAX Rel 1 | LTE | LTE-Advanced | WiMax Rel 2 | “4G Sebenar” |
---|---|---|---|---|---|---|
Muat Turun | 84 Mbps | 128 Mbps | 100 Mbps | 1000 Mbps | 1000 Mbps | 1000 Mbps |
Muat Naik | 22 Mbps | 56 Mbps | 50 Mbps | 500 Mbps | 500 Mbps | 500 Mbps |
Langkah berikutnya
Pada masa ini, penyedia-penyedia rangkaian seperti Huawi sedang giat mengusahakan sambungan jalur lebar mudah alih generasi kelima. Ringkasnya 5G. ITU-R juga sudah menetapkan piawaian teknologi yang perlu dipatuhi untuk ditakrifkan sebagai 5G.
Berdasarkan apa yang telah berlaku pada perkembangan teknologi 4G, dijangkakan teknologi 5G ini akan hadir seawal tahun hadapan. Malaysia juga tidak ketinggalan dengan pengujian-pengujian teknologi 5G yang telah dan sedang dirancang diadakan di beberapa bandar-bandar utama seluruh Malaysia.
Teknologi 5G juga dijangkakan bakal menggunakan frekuensi radio yang lebih tinggi dari apa yang digunakan oleh 4G iaitu pada julat antara 30GHz hingga 300GHz. Penggunaan 5G juga boleh mengurangkan kesesakan pengggunaan jalur frekuensi radio yang kian sesak berikutan pertambahan bilangan pengguna.
Imej cover diperoleh dari Stock Photos
oh baru tahu…. terima kasih untuk info tersebut..
Terbaik……Shahrul Yusof…….kerana memberikan info yg baik dlm bahasa Malaysia utk lebih senang faham kepada org seperti sy yg agak kurang English nya.
Terima kasih tuan 🙂
Terima kasih atas info yg berguna. Sblm ini sy tidak faham fungsi LTE pada paparan rangkain android sy.
Terbaik .. ringkas dan padat.
Mudah di fahami. Terbaik.