Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada hari ini mendedahkan beliau telah memberikan Starlink Lesen Pemberi Kemudahan dan Perkhidmatan Rangkaian. Seterusnya membolehkan Starlink memberikan perkhidmatan internet berasaskan satelit di Malaysia.
Pihak kerajaan sebelum ini telah bertemu dengan CEO SpaceX, yang juga merupakan CEO Tesla dan juga Twitter, Elon Musk menerusi satu mesyuarat secara maya pada minggu lepas.
Pertemuan tersebut turut membincangkan mengenai pembelian sejumlah alat penerima perkhidmatan berkenaan untuk digunakan di institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga kawasan luar bandar.
Perkara ini juga selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu yang menyatakan masalah capaian internet yang lemah merupakan salah satu isu yang sering diadukan ketika kunjungan beliau ke IPT-IPT di seluruh negara.
Beliau turut menyatakan Elon Musk telah bersetuju untuk menyediakan 40 alat penerima bagi menyelesaikan masalah ini dan turut bersedia dengan lebih banyak unit jika kerajaan memerlukannya.
Di dalam Twitter, Fahmi Fadzil menyatakan Starlink akan memulakan perkhidmatan di IPT-IPT dan sekolah-sekolah terlebih dahulu sebelum meluaskan ke arah 100% akses internet di kawasan berpenduduk.
Saya telah menyerahkan Lesen Pemberi Kemudahan dan Perkhidmatan Rangkaian kepada wakil Starlink baru-baru ini.
Ini sekaligus membenarkan Starlink menyediakan perkhidmatan internet satelit di Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman. pic.twitter.com/Ywtyug62P6
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) July 20, 2023
Liputan akses internet di kawasan berpenduduk di Malaysia buat masa ini di paras 97% dengan baki selebihnya sukar dicapai atas faktor permukaan bumi. Bagi mencapai 100%, pihak kerajaan bersedia untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan internet satelit selain dari Starlink.
Starlink telah mula menerima pra-tempahan untuk perkhidmatannya di Malaysia sejak dari Januari tahun ini yang pada asalnya dijadualkan akan mula beroperasi suku kedua 2023. Namun,sehingga kini tidak banyak yang diketahui mengenai perkhidmatan internet berasaskan satelit ini di Malaysa.
Diharapkan melalui lesen baharu yang diterima ini akan membuka peluang baharu di dalam negara terutama dari segi ketersambungan di kawasan berpenduduk.