Sejak ChatGPT mula ditawarkan kepada khalayak umum, trend teknologi AI generatif kini semakin berkembang apabila Apple turut memberikan tumpuan tersebut menerusi pemprosesan baharunya kelak M4 yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Bloomberg memetik sumber yang mendakwa pemprosesan Apple M4 berkenaan kini menghampiri fasa pengeluaran. Terdapat sekurang-kurangnya tiga varian utama seperti generasi sebelumnya yang terdiri daripada standard, Pro dan Max. Ia juga dikatakan akan mempunyai nama kodnya masing-masing iaitu Donan, Brava dan Hidra. Seperti setiap model Mac baharu, pemprosesan berkenaan kelak akan diperkenalkan di dalam model baharu komputer keluaran Apple tersebut.
Dijangkakan iMac, Mac mini, MacBook Pro 14-inci dan MacBook Pro 16-inci yang akan datang akan menggunakan pemprosesan Apple M4 tersebut dengan tarikh pelancarannya dijangka sekitar penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Seterusnya, model-model MacBook Air yang terdiri daripada saiz 13-inci dan 15-inci diramalkan akan menyusul sekitar musim luruh (hujung Mac – hujung Jun) tahun 2025. Manakala Mac Studio baharu mungkin akan diperkenalkan pada pertengahan tahun depan, dan Mac Pro pula pada hujung tahun depan.
Menjelang acara WWDC pada tahun ini, dijangkakan ciri AI generatif yang akan diperkenalkan pada komputer-komputer Apple Mac baharu tersebut akan dipertontonkan. Cuma tidak dapat dipastikan sama ada pemprosesan M4 baharu akan membuat kemunculan di dalam acara tersebut. Terdahulu, pemprosesan Apple Silicon pertama, M1 telah diperkenalkan pada November 2020, diikuti oleh M2 pada Jun 2022 dan Apple M3 pada Oktober tahun lepas.