Panasonic mengumumkan perancangan untuk menutup kilang pembuatan Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd (PAVCKM) di Shah Alam menjelang Mac 2027. Penutupan kilang ini adalah sebahagian daripada strategi penyusunan semula jejak pembuatan global syarikat dan dijangka menjejaskan kira-kira 400 orang pekerja di fasiliti tersebut.
Berdasarkan kenyataan rasmi syarikat, operasi pengeluaran televisyen di fasiliti Shah Alam akan dihentikan sepenuhnya menjelang akhir bulan September 2026. Bagi pengeluaran pemain Blu-ray Disc (cakera optik berkapasiti tinggi untuk media resolusi tinggi), operasinya akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co Ltd di China pada tempoh yang sama.
Manakala pembuatan produk audio hi-fi di bawah jenama premium Technics akan ditamatkan di Shah Alam menjelang akhir bulan Februari 2027. Pembuatan komponen tersebut akan dipindahkan ke syarikat Kumpulan Panasonic yang lain bagi memperkukuh daya saing perniagaan komunikasi audio-visual (AVC) mereka di peringkat global.
Menyedari kesan daripada penutupan operasi PAVCKM ini, pihak pengurusan Panasonic sedang bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi kerajaan, dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Elektrik (EIWU).
Kolaborasi ini bertujuan untuk memastikan kesemua 400 pekerja yang terjejas menerima sokongan yang secukupnya, termasuklah bantuan penempatan pekerjaan baharu dan kelancaran proses peralihan kerjaya.
Operasi pembuatan bagi produk audio Panasonic yang lain di Malaysia akan terus berjalan seperti biasa dengan fokus baharu terhadap peningkatan kecekapan operasi. Bagi para pengguna sedia ada, Panasonic memberi jaminan aktiviti jualan dan perkhidmatan selepas jualan untuk produk televisyen dan audio di Malaysia tidak akan terjejas.
Syarikat tersebut turut mengulangi pendirian Malaysia kekal sebagai salah satu hab serantau utama bagi jenama itu. Kumpulan Panasonic di Malaysia kini menggaji sekitar 12,000 tenaga kerja yang merangkumi pelbagai sektor seperti pembuatan nilai tambah tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pengurusan korporat.
Panasonic komited untuk terus melabur dalam rantaian bekalan bernilai tinggi di Malaysia bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang mereka dan menyumbang kepada komuniti tempatan.













