Apple telah mengumumkan siri MacBook Air baharu yang terdiri daripada varian 13-inci dan 15-inci serta dilengkapkan dengan pemprosesan Apple M3. Rekaan laptop baharu keluaran Apple ini masih lagi sama seperti modelnya yang terdahulu bersama-sama empat pembesar suara.
Menerusi pemprosesan Apple M3 baharu ini, MacBook Air keluaran tahun 2024 ini menjanjikan peningkatan prestasi sebanyak 60% berbanding pemprosesan M1. Manakala GPU yang dilengkapkan padanya pula dikatakan 15% lebih berkuasa berbanding jenis yang terdapat pada pemprosesan M2.
Bersama-sama pemprosesannya, laptop ini juga didatangkan dengan RAM sehingga 24GB dan pilihan storan SSD sehingga 2TB. Pun begitu, untuk pasaran Malaysia pilihan paling tinggi yang ditawarkan hanya sehingga RAM 16GB dan storan sehingga 512GB.
Selain itu, MacBook Air baharu juga didatangkan dengan sokongan Wi-Fi 6E, pad penjejak berintegrasi Force Touch, Magic Keyboard dengan Touch ID, 4 port USB / Thunderbolt, sokongan dwi-paparan luaran dan bicu audio 3.5mm.
Untuk pasaran Malaysia , MacBook Air M3 13-inci berharga bermula dari RM5,199 dengan 15-inci pula harganya bermula dari RM6,199. Kedua-dua laptop ini juga ditawarkan pada harga istimewa untuk kegunaan pendidikan dengan harganya masing-masing bermula dari RM4,729 dan RM5,729.
Apple setakat ini masih lagi belum menyatakan bilakah siri laptop baharunya ini akan tiba ke pasaran Malaysia dan hanya memaklumkan pra-tempahannya akan dibuka tidak lama lagi.