Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memperkenalkan penggunaan Touch ‘n Go eWallet sebagai saluran alternatif pembayaran pencen kepada golongan pesara. Inisiatif baharu ini dijangka memberi manfaat kepada 835,146 pesara dan penerima pencen terbitan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz telah menyempurnakan pelancaran inisiatif ini bersama program MyPesara Plus ketika Perhimpunan Bulanan JPA di Auditorium JPA Rabu lalu.
Pengenalan dompet digital ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya dalam sektor kerajaan. Kaedah ini menawarkan pilihan pembayaran yang lebih fleksibel, pantas, dan selamat, terutamanya bagi pesara yang berdepan masalah kesukaran menerima wang pencen akibat akaun bank dibekukan atau disekat.
Bagi memastikan kelancaran transaksi tanpa sebarang gangguan, inisiatif berkenaan direalisasikan menerusi kerjasama strategik di antara JPA, Kementerian Kewangan (MOF), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), serta Touch ‘n Go eWallet.
Hasil pelaksanaan awal mendapati, setakat Mei 2026, seramai 122 pesara telah mula menerima pencen melalui kaedah ini dengan jumlah pembayaran bulanan direkodkan sebanyak RM254,841.21.
Pada majlis yang sama, JPA turut melancarkan MyPesara Plus, platform penambahbaikan kepada Program Manfaat Pesara sedia ada. Program ini direka untuk meluaskan faedah serta keistimewaan pesara melalui rangkaian kerjasama strategik dengan pelbagai pemain industri. Antara sektor yang terlibat merangkumi penjagaan kesihatan, farmaseutikal, pengangkutan, peruncitan, dan penginapan.












