Penemuan baharu dalam versi beta pembangun bagi iOS 27 telah mendedahkan beberapa rujukan berkaitan telefon pintar boleh lipat baharu dari Apple.
Peranti berkenaan mungkin akan dilancarkan secara serentak bersama-sama dengan sistem operasi mudah alih baharu tersebut.
Penemuan ini dikongsikan oleh seorang penganalisis, Sam Henri Gold, melalui satu hantaran di akaun platform X miliknya. Beliau mendedahkan dapatan yang mendakwa peranti boleh lipat Apple dalam fasa pembangunan. Ia bakal menemui pengguna tidak lama lagi.
Penemuan Kod “foldState” dan “angleDegrees”
iOS 27 framework references “foldState” and “angleDegrees” but I’m sure that’s nothing pic.twitter.com/PcYNVvymms
— sam henri gold (@samhenrigold) June 8, 2026
Menerusi semakan terhadap kod pengaturcaraan yang dikongsikan, terdapat rujukan spesifik yang tertanam di dalam kerangka (framework) iOS 27. Dua kod utama yang berjaya ditemui dan menjadi fokus adalah rujukan terhadap istilah “foldState” serta “angleDegrees”.
Dalam konteks kejuruteraan perisian, istilah teknikal ini memainkan peranan penting untuk peranti berskrin fleksibel. Kod “foldState” biasanya berfungsi untuk membolehkan sistem operasi mengesan keadaan fizikal peranti, iaitu sama ada ia sedang dibuka atau ditutup.
Sementara itu, kod “angleDegrees” pula direka untuk mengenal pasti darjah sudut bukaan engsel peranti. Sekaligus membolehkan paparan antara muka diselaraskan secara responsif mengikut postur peranti.
Sebelum ini, iPhone boleh lipat itu turut dikhabarkan bakal membuat kemunculan pada hujung tahun ini. Jangkaan itu selari dengan musim pelancaran iPhone yang lazimnya berlangsung pada September. Walau bagaimanapun ketersediaan sebenar peranti berkenaan mungkin ditunda beberapa bulan selepas pengumuman awal.
Jika perkara itu menjadi kenyataan, jadual tersebut juga akan seiring dengan pelancaran iOS 27 kepada pengguna awam. Dalam konteks itu, adalah lebih munasabah untuk Apple memasukkan sokongan berkaitan peranti boleh lipat ke dalam iOS 27 lebih awal melalui beta pembangun, berbanding memperkenalkannya serentak hanya apabila peranti tersebut diumumkan kelak.
Namun begitu, semua petunjuk ini masih bergantung kepada perancangan sebenar Apple dan sama ada terdapat sebarang keadaan luar jangka yang boleh menangguhkan pengenalannya. Setakat ini, pengesahan rasmi masih belum dibuat, dan perhatian kini tertumpu kepada acara pelancaran iPhone yang kebiasaannya berlangsung pada September.
Buat masa ini, rujukan dalam iOS 27 beta hanya spekulasi Apple semakin hampir untuk memasuki segmen telefon pintar boleh lipat. Sama ada ia benar-benar diumumkan tahun ini atau sebaliknya, jawapan muktamad dijangka hanya diketahui apabila Apple membuat pengumuman rasminya.













