Apple merancang untuk menaikkan harga produknya susulan peningkatan kos cip memori dan storan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tim Cook dalam temu bual bersama Wall Street Journal.

Cook menjelaskan lonjakan permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya bagi pusat data, telah mencetuskan persaingan sengit dalam kalangan syarikat elektronik pengguna untuk mendapatkan bekalan cip memori yang semakin terhad. Situasi ini secara langsung mendorong kenaikan harga komponen tersebut.

Permintaan AI ‘Menekan-nekan’ Bekalan Global

Peningkatan penggunaan AI telah meningkatkan permintaan terhadap cip memori berprestasi tinggi seperti high-bandwidth memory (HBM), iaitu sejenis memori berkelajuan tinggi yang digunakan dalam pelayan AI.

Peralihan bekalan ke arah sektor ini menyebabkan bekalan untuk produk pengguna semakin berkurangan.

Cook berkata, keadaan ini menyebabkan pengeluar cip memori memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan industri, termasuk Apple.

“Malangnya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan. Kami cuba melindungi pengguna, tetapi situasi ini sudah tidak mampan,” kata Cook.

Awal bulan ini, kumpulan industri yang mewakili pengeluar automotif, peruncit dan syarikat elektronik turut memberi amaran bahawa kekurangan cip memori boleh menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna di Amerika Syarikat serta mengganggu rantaian bekalan global (Reuters).

Cook turut menegaskan bahawa Apple memerlukan harga dan bekalan memori kembali stabil untuk memastikan produk pengguna kekal berpatutan.

Butiran Kenaikan Harga Masih Belum Didedahkan

Walaupun mengesahkan kemungkinan kenaikan harga, Cook tidak mendedahkan bilakah kenaikan harga ini akan dilaksanakan.

Pada masa sama, Apple dilaporkan bersedia melancarkan beberapa produk baharu termasuk iPhone boleh lipat pertama serta iPhone 18 Pro dan Pro Max pada September ini.

Dalam usaha menangani kekangan bekalan, Apple menyatakan kesediaan untuk menggunakan rizab tunainya bagi membantu meningkatkan kapasiti bekalan cip memori, walaupun tidak memperincikan mekanisme tersebut.

“Kami bersedia menggunakan kekuatan kewangan kami untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Jelas sekali, lebih banyak kapasiti diperlukan,” kata Cook.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Apple tidak bercadang membina kilang cip memori sendiri, walaupun syarikat itu mempunyai kepakaran dalam pembangunan silikon.

Cook turut menyentuh isu sekatan keselamatan negara Amerika Syarikat yang mengehadkan kerjasama dengan syarikat memori dari China. Menurutnya, semua pilihan perlu dipertimbangkan bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Semua perkara perlu dipertimbangkan… kita perlu melihat semua sumber bekalan,” katanya.

China kini mempunyai beberapa syarikat domestik utama dalam sektor memori dan storan, namun kerjasama dengan firma AS memerlukan kelulusan khas di bawah peraturan keselamatan negara.

Tinggalkan komentar