Utama Aksesori Jam Tangan Pintar Ulasan Samsung Galaxy Watch 6 Classic: Jam Tangan Pintar dengan Sentuhan Klasik

Ulasan Samsung Galaxy Watch 6 Classic: Jam Tangan Pintar dengan Sentuhan Klasik

146
0

Galaxy Watch 6 Classic membawakan kembali bingkai berputar yang digemari kebanyakan peminatnya bersama-sama penambahbaikan spesifikasi.

Seperti biasa, Samsung merupakan antara yang terbaik di kalangan jenama jam tangan pintar sejak sekian lama. Ia bermula lebih awal lagi sejak sebelum peralihan dari Tizen OS kepada Wear OS pada 2021 melalui siri Galaxy Watch 4.

Siri berkenaan menjadi yang terakhir menampilkan bingkai berputar untuk mengendalikan antaramuka jam tangan pintar tersebut. Ini kerana, pada Galaxy Watch 5 Pro dahulu, ciri tersebut digantikan dengan bingkai digital kapasitatif.

Menerusi Galaxy Watch 6 Classic, jam tangan pintar ini turut membawakan beberapa penambahbaikan daripada generasi sebelumnya selain memperkenalkan semula bingkai berputar fizikal.

Bateri, prestasi, ciri penjejakan kesihatan serta perkakasannya secara keseluruhannya juga tidak kurang hebatnya dengan skrin paling besar berbanding mana-mana jam tangan pintar keluaran Samsung setakat ini.

Spesifikasi Galaxy Watch 6 Classic

  • Paparan: 1.3-inci Sapphire Crystal Glass Super AMOLED 432×432 (43mm) atau 1.5-inch Sapphire Crystal Glass Super AMOLED 480×480 (47mm)
  • CPU: Exynos W930
  • RAM: 2GB
  • Storan: 16GB
  • Perisian: Wear OS 4
  • Bateri: 300mAh (43mm) atau 425mAh (47mm)
  • Ketersambungan: NFC, GPS, Bluetooth 5.3, Wi-Fi (2.4GHz dan 5GHz), LTE (pilihan)
  • Kelasakan: IP68, 5ATM, MIL-STD-810H
  • Sensor Kesihatan: Optical Heart Rate, Electrical Heart Sensor, Bioelectrical Impedance, Skin Temperature Sensor
  • Ukuran: 42.5 x 42.5 x 10.9mm (43mm) atau 46.5 x 46.5 x 10.9mm (47mm)
  • Berat: 52g (43mm) or 59g (47mm)
  • Tali: Hybrid Eco-Leather
  • Sokongan Pembayaran Mudah Alih: Samsung Pay, Google Wallet
  • Pengesanan Senaman: Ada
  • Warna: Black dan silver
  • Audio: Mic dan pembesar suara

Harga Galaxy Watch 6 Classic di Malaysia

Rekaan dan Perkakasan

Kami menerima Galaxy Watch 6 Classic 43mm untuk ulasan kali ini dan dari sudut pandang rekabentuk, Samsung menunjukkan penambahbaikan dari dua model jam tangan pintar sebelumnya iaitu Galaxy Watch 4 Classic dan Galaxy Watch 5 Pro.

Tumpuan utama pastinya pada bingkai berputar fiizkalnya yang telah kembali semula selepas kali terakhir muncul pada Galaxy Watch 4 Classic. Namun telah dikecilkan bagi memeri ruang untuk paparan 1.5-inci yang lebih besar, berbanding 1.4-inci pada Watch 4 Classic.

Watch 6 Classic juga menampilkan panel Super AMOLED yang dilindungi oleh kaca Sapphire Crystal yang tahan lasak. Panelnya ini juga ditingkatkan tahap kecerahan maksimumnya sehingga 2,000 nits menjadikan ia lebih mudah dilihat di bawah cahaya matahari.

Bingkai Berputar

Bingkai berputarnya masih lagi menawarkan ciri yang sama seperti sebelumnya dan tidak menawarkan ciri yang baharu. Putaran dari bingkainya ini membolehkan anda menatal mesej-mesej baharu, menelusuri antaramuka, melaraskan audio dan banyak lagi. Selain memberikan lebih kepuasan ketika menggunakannya, bingkai berputar ini juga boleh menghindarkan anda dari mencomotkan panelnya.

Badan jam ini juga kelihatan hampir sama dengan model terdahulu dengan dua butang dan lubang pembesar suara dan mikrofon pada sisi kanannya. Terdapat juga sensor mengesan denyutan nadi, suhu, ketumpatan oksigen dalam darah dan banyak lagi di belakangnya. Jam tangan pintar ini dicaskan secara nirwayar, oleh itu tiada sebarang pin atau lubang berkaitan padanya.

Untuk varian 43mm seperti unit untuk ulasan kali ini, ia menawarkan bateri berkapasiti 300mAh dengan berat 52g. Pada kapasiti tersebut dengan beratnya, jam tangan pintar ini tentunya tidak boleh dianggap sebagai paling ringan mahupun paling nipis di pasaran pada ketika ini. Berat tersebut turut dipengaruhi oleh penggunaan material keluli tahan karat yang memberikan Galaxy Watch 6 Classic ini lebih gaya umpama jam tangan premium konvensional.

Galaxy Watch 6 Classic juga mempunyai penarafan IP68 bagi kerintangan air dan debu, serta ketahanan direndam di dalam air sehingga 5ATM dan persijilan MIL-STD-810H.

Tali jam yang disertakan bersama-sama di dalam kotaknya sekali imbas kelihatan seperti diperbuat daripada kulit. Namun, menurut Samsung bahan tersebut diperbuat daripada bahan mesra alam berkualiti tinggi berasaskan tumbuhan seperti jagung.

Sungguhpun rekaan keseluruhan jam tangan pintar ini tidak begitu drastik dari generasi sebelumnya, saya berpendapat Samsung berjaya menawarkan citarasa yang premium lagi mantap pada Galaxy Watch 6 Classic ini, sesuai dengan harganya.

Prestasi dan hayat bateri

Generasi jam tangan pintar baharu dari Samsung pada tahun ini menggunakan pemprosesan Exynos W930 selepas dua tahun sebelumnya menggunakan Exynos W920. Pemprosesan ini digandingkan dengan RAM 2GB dan storan dalaman 16GB.

Prestasi dan kecekapan kuasa pemprosesan juga turut dipertingkatkan dan sepanjang mengendalikannya saya tidak pula pernah mendapati ia tergendala mahupun mengalami kelembapan.

Galaxy Watch 6 Classic ini juga mampu mengekalkan sambungannya secara Bluetooth dengan Galaxy S23 Ultra saya walaupun berada di dalam jarak yang agak jauh. Selain dari Bluetooth, jam tangan pintar ini juga menyokong sambungan secara Wi-Fi.

Penggunaan pemprosesan baharu ini juga dapat meningkatkan sedikit hayat bateri Galaxy Watch 6 Classic. Saya mendapati ia mampu bertahan sehari semalam sebelum perlu mengecaskannya semula. Menurut Samsung, jam tangan ini dikadarkan mampu bertahan sehingga 40 jam penggunaan untuk sekali cas. Bagaimanapun, ini semua bergantung pada tahap penggunaan dan juga tetapan pada jam tangan pintar tersebut.

Ciri pemantauan kesihatan

Sesetengah pengguna menggunakan jam tangan pintar untuk menerima notifikasi dan ada juga untuk tujuan memantau kesihatan dan kecergasan. Untuk menjadi salah satu peranti pemantau kesihatan digital terulung di pasaran, ia perlu menjadi lebih dari sekadar tukang kira langkah berjalan pengguna.

Samsung memberikan tumpuan yang cukup besar terhadap kesihatan dengan menyertakan sensor termaju di dalam jam tangan pintarnya dan mengintegrasikannya dengan aplikasi Samsung Health.

Galaxy Watch 6 Classic mampu mengesan pelbagai ukuran yang melibatkan kadar nadi, tahap stres, oksigen dalam darah dan juga pola tidur. Ia juga akan memberikan pemakluman jika mendapati bacaan ukuran tersebut tidak berada pada paras normal.

Salah satu ciri tersebut merupakan notifikasi ritma jantung tidak teratur. Ia menggunakan ciri ECG untuk mengesan sebarang keganjilan pada kadar denyutan nadi anda. Jika insiden tersebut berlaku, pengguna boleh membuat rujukan dengan doktor di klinik kesihatan berhampiran anda untuk mendapatkan rawatan atau nasihat pakar.

Perisian

Samsung bekerjasama dengan Google untuk menambahbaik platform peranti boleh pakai dan seterusnya membawa Samsung menjadi yang terawal menawarkan Wear OS 3. Atas sebab itu jugalah, Samsung juga menjadi yang terawal menawarkan peranti yang menggunakan Wear OS 4 melalui antaramuka Samsung One UI Watch 5.

Secara visualnya, tidak banyak beza yang ditawarkan antara One UI Watch 5 dengan One UI 4.5 sebelum ini ini. Namun, ia masih juga menawarkan peningkatan dari segi kecekapan, penghasilan muka jam, ciri untuk aplikasi dan banyak lagi selain peningkatan pada sandaran dan juga pemulihan.

Kesimpulan

Pada hemat saya, Galaxy Watch 6 Classic ini sesuai untuk anda yang sedang mencari jam tangan pintar yang baharu. Namun, ada beberapa perkara yang anda perlu pertimbangkan sebelum memilihnya.

Antaranya tentang saiznya yang kelihatan agak besar pada tangan sesetengah pengguna yang pergelangan tanganya yang kecil.

Bagaimanapun, jika anda tidak kisah dan sememangnya minat dengan jam tangan pintar yang besar, Galaxy Watch 6 Classic menawarkan pelbagai ciri-ciri pintar yang hebat bersama-sama fungsi kesihatannya.

Artikel sebelum iniInovatif Masa Hadapan: HONOR Pad X9 bakal dijual mulai 25 Ogos
Artikel seterusnyaWhatsApp kini boleh hantar Foto dalam Kualiti HD; Video HD akan menyusul tidak lama lagi
Penulis berpengalaman di dalam bidang teknologi maklumat selama 12 tahun dan kerap mengikuti perkembangan teknologi semasa baik di dalam Malaysia mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.