WhatsApp kini menawarkan fungsi menghantar foto dalam kualiti definisi tinggi (high definition, HD) berbanding sebelum ini yang akan memampatkan saiz media yang dihantar bagi menjimatkan ruang.
Penawaran fungsi baharu ini memberikan pilihan untuk pengguna memuat naik melalui butang “HD” di bahagian atas WhatsApp apabila anda ingin menghantar foto. Satu ‘pop-up’ akan muncul memberikan anda pilihan untuk memilih kualiti standard atau HD beresolusi 1920×2560 piksel.
WhatsApp juga menyatakan jika penerima foto HD berkenaan mempunyai masalah sambungan internet yang lemah, anda boleh memilih mana-mana foto berkenaan sama ada dalam bentuk HD atau berkualiti standard.
Selain foto berkualiti HD, di dalam kenyataan media yang sama juga dinyatakan pilihan untuk menghantar video di dalam bentuk HD akan ditawarkan tidak lama lagi.
Kedua-dua pilihan kualiti penghantaran media berkenaan masih lagi kekal dienkripsi hujung-ke-hujung untuk tujuan privasi pengguna. Fungsi baharu ini sedang diluncurkan kepada pengguna-pengguna di seluruh dunia dalam minggu ini.