Awal bulan ini, vivo V30e telah dilaporkan disenaraikan di dalam pangkalan data SIRIM dan kebiasaannya ia menunjukkan kehadirannya ke Malaysia kian hampir. Iklan acahnya juga turut dikongsikan di dalam halaman Facebook rasminya dan kini telah disahkan pelancarannya akan dibuat pada 2 Mei 2024.
Tidak banyak maklumat mengenai telefon pintar berkenaan dikongsikan secara rasmi, namun secara tidak rasmi maklumatnya dikatakan telah tertiris di arena web.
Menurut laporan dari 91mobiles, lembaran spesifikasi terhad vivo V30e dikatakan telah muncuk di dalam pangkalan data Geekbench. Di dalamnya, telefon pintar berkenaan telah ditunjukkan menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 dengan RAM 8GB dan menggunakan Android 14. Laporan yang sama juga menyenaraikan spesifikasi lainya seperti bateri 5,000mAh dengan pengecasan 44W.
vivo V30e merupakan penambahan di dalam siri V30 yang pada bulan lepas hadir melalui model Pro dan standard. Salah satu ciri yang diketengahkan di dalam siri ini adalah setiap kameranya adalah 50MP dan dijangkakan model ini juga akan mempunyai ciri yang sama.