Infinix GT 20 Pro 5G, telefon pintar permua terkini dijadualkan bakal dilancarkan di Malaysia pada 2 Mei 2024. Harganya pula didapati telah diketahui lebih awal apabila peniaga-peniaga tempatan telah pun menyenaraikan harga telefon pintar berkenaan di kedai dalam talian rasmi masing-masing di Shopee.
Berdasarkan apa yang disenaraikan, Infinix GT 20 Pro 5G dijangka akan dijual pada harga RM1,299 dan ditawarkan dengan satu pilihan memori sahaja. Ia boleh didapati dengan tiga pilihan warna iaitu Mecha Orange, Mecha Silver, dan Mecha Blue.
Telefon pintar berkenaan juga baru-baru ini telah membuat kemunculan sulung rasminya di Arab Saudi dengan mempertontonkan beberapa spesifikasi pentingnya. Infinix GT 20 Pro 5G dijangka akan menampilkan paparan AMOLED 6.78-inci dengan resolusi FullHD+, kadar penyegaran semula 120Hz, dan kecerahan puncak 1,300 nits. Ia juga dilengkapkan dengan motor bergetar paksi-X linear bagi meningkatkan suapan balik haptik.
Selain itu, ia juga menyertakan antaramuka LED Mecha Loop yang membolehkan pemilihan kombinasi lapan warna berbeza dan empat kesan pencahayaan, serta integrasi untuk permainan seperti PUBG, MLBB dan Free Fire. Menurut Infinix, pengguna boleh memperibadikan kesan pencahayaan untuk pelbagai aktiviti seperti pangilan masuk, notifikasi, pengecasan dan main semula muzik.
Di dalamnya, Infinix GT 20 Pro 5G dilengkapkan dengan pemprosesan MediaTek Dimensity 8200 Ultimate yang bergandingan dengan RAM LPDDR5X 8GB atau 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. Cuma tidak dapat dipastikan sama ada terdapat pilihan RAM kelak memandangkan buat masa ini hanya pilihan konfigurasi RAM 12GB sahaja disenaraikan oleh peniaga-peniaga di Malaysia.
Pemprosesan Khusus Pixelworks X5 Turbo
Telefon pintar ini juga mempunyai pemprosesan paparan permainan khusus Pixelworks X5 Turbo yang seterusnya menjadikan ia peranti Infinix pertama yang mempunyai dwi-pemprosesan. Pemprosesan ini menggunakan interpolasi kadar bingkai permainan Motion Estimation and Motion Compensation (MEMC) bagi meningkatkan kadar bingkai dari 60 FPS hingga ke 120 FPS untuk permainan yang lebih lancar disamping meningkatkan kualiti gambar yang dipaparkannya.
Infinix GT 20 Pro 5G dikuasakan oleh bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 45W. Lain-lain ciri yang diketengahkannya termasuklah pengimbas cap jari bawah paparan, dwi-pembesar suara yang ditala khas oleh JBL, sokongan NFC, dan Android 14 melalui antaramuka Infinix XOS 14. Infinix juga menjanjikan naik taraf ke sehingga dua kali versi Android dan kemaskini keselamatan selama tiga tahun.
Dari segi pengimejan, terdapat dwi-kamera pada telefon pintar permua ini yang mengandungi satu kamera utama 108MP dan satu kamera berkedalaman 2MP. Di sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP.