Pelancaran telefon pintar mercu Samsung Galaxy berikutnya dijangka akan dibuat dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi. Samsung dijangka akan mengumumkan telefon pintar boleh lipat generasi berikutnya dalam bulan Julai tahun ini. Siri berkenaan dijangka akan memperkenalkan Galaxy Z Flip 6 dan Galaxy Z Fold 6.
Menjelang pelancarannnya yang kian hampir, Samsung kini dilaporkan telah melakukan persiapan bagi pengeluaran Galaxy Z Flip 6. Ia dilakukan dengan jangkaan akan menerima permintaan yang tinggi.
Turut dilaporkan, Samsung telah memuktamadkan pelantikan Econy sebagai pembekal pesanan untuk kaca ultra nipis yang digunakan untuk Galaxy Z Flip 6. Untuk kaca ultra nipis Galaxy Z Fold 6, Samsung dikatakan akan terus bekerjasama dengan kontraktor sebelumnya, Dowoo Insys.
Proses bahagian belakang (back end process) kaca ultra nipis membantu meringkaskan proses pengeluaran. Penyedia perkhidmatan berkenaan akan menerima substrat kaca ultra nipis, menipiskannya dan memotongkan plat-plat secara individu mengikut ukuran paparan telefon pintar berkenaan.
Kedua-dua kontraktor berkenaan telah pun terlibat dengan Samsung sejak dari tahun 2021 melalui Galaxy Z Flip dan Galaxy Z Fold yang pertama. Bahan substrat kaca berkenaan datangnya daripada Corning untuk siri Galaxy Z Flip. Manakala untuk Galaxy Z Fold pula, bahan tersebut daripada Schott.
Setakat ini tiada pengumuman rasmi yang dibuat oleh pihak Samsung mengenai tarikh rasmi pelancaran siri Galaxy Z baharu untuk tahun 2024 ini. Setakat ini, banyak maklumat yang dikongsikan menunjukkan pelancarannya mungkin akan dibuat sekitar bulan Julai 2024.