TM dan U Mobile telah mengumumkan pemeteraian perjanjian borong 5G yang merangkumi tempoh tiga tahun. Melalui langkah strategik ini, TM secara rasminya menggunakan hak kontrak untuk menamatkan perjanjian akses borong 5G sedia ada dengan Digital Nasional Berhad (DNB).
Perjanjian baharu ini membolehkan TM memanfaatkan Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN) 5G U Mobile yang lebih baharu.
MOCN merupakan teknologi perkongsian rangkaian teknikal. Pelbagai syarikat telekomunikasi boleh berkongsi dan menggunakan infrastruktur teras radio yang sama secara serentak.
Menurut Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, “Kami yakin dengan kemampuan kami untuk menyampaikan prestasi unggul, kebolehpercayaan, keselamatan yang teguh dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan kepada TM”.
Tambah beliau, “Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan TM untuk mempercepatkan penerimagunaan 5G dan mencipta nilai jangka panjang untuk industri serta negara”.
Di bawah pemeteraian ini, perkhidmatan MOCN 5G yang ditawarkan oleh U Mobile merangkumi ciri dan spesifikasi sokongan berikut:
- Penyediaan perkhidmatan rangkaian 5G secara hujung-ke-hujung (end-to-end) yang komprehensif.
- Integrasi sistem tanpa gangguan yang disusuli dengan pengaktifan perkhidmatan.
- Pelaksanaan ujian rangkaian yang ketat berserta pengoptimuman perkhidmatan 5G MOCN yang berterusan.
- Proses perkembangan kapasiti di mana U Mobile pada ketika ini sedang rancak memperluaskan prasarana dan dilapor mendahului jadual sasaran mandat 80% liputan 5G negara.
Keputusan TM untuk menyertai rangkaian U Mobile ini didorong oleh pengenalan rangkaian 5G kedua di Malaysia. Ia memberi ruang kepada syarikat tersebut untuk menilai pilihan terbaik.
Walaupun perjanjian dengan DNB berakhir, TM mengiktiraf peranan perintis DNB dalam memacu fasa pertama pelancaran 5G ke seluruh negara. Dalam pada masa yang sama, TM memberi jaminan peralihan perkhidmatan akan dilaksanakan dengan lancar.











