WhatsApp pertama kali memperkenalkan ciri “view once” pada tahun 2021 untuk mesej mengandungi foto dan video sahaja. Ciri tersebut kemudian diperluaskan ke mesej bersuara pada hujung 2023. Kini, platform permesejan berkenaan dilihat memperluaskannya pada mesej berteks.
Menurut WABetaInfo, ciri ini masih lagi di peringkat pembangunan. Ia mula diketemukan di dalam kemaskini beta WhatsApp untuk Android 2.26.22.7 dengan tangkapan layar menunjukkan ciri tersebut berfungsi dari penghantar.
Untuk menghantar mesej yang hanya boleh dilihat sekali oleh penerima, anda taipkan mesej seperti biasa dan pegang lama pada butang hantar. Laporan tersebut menyatakan pengguna akan ditunjukkan dengan menu ‘dropdown’ dan salah satu pilihannya “Send as view once”.
Sebaik sahaja dihantar, mesej tersebut akan mempunyai ikon “one-time”, sama seperti yang terdapat pada mesej “view once” imej dan video sebelum ini. Selepas dilihat, seperti biasa ia akan menunjukkan label “Opened”.
Pilihan “view once” baharu ini dijangka turut menerima manfaat dari ciri-ciri keselamatan yang tersedia sebelum ini. Antaranya sekatan tangkapan layar, dan juga tiada pilihan berkongsi atau memajukan mesej tersebut. Pun begitu, penerima mesej tersebut masih lagi boleh menangkap mesej tersebut melalui kamera dari peranti lain.
WABetaInfo turut melaporkan pilihan “view once” untuk mesej teks WhatsApp masih belum tersedia untuk penguji setakat ini. Tidak dapat dipastikan bilakah ciri tersebut sedia untuk diuji kepada pengguna. Ini bermakna, ciri tersebut mungkin masih lama lagi untuk tersedia kepada pengguna umum.













