Telekom Malaysia (TM) secara rasmi telah mendedahkan butiran harga dan ketersediaan pas tontonan Piala Dunia FIFA 2026. Inisiatif ini membolehkan peminat bola sepak di Malaysia menonton kesemua 104 perlawanan secara langsung melalui tiga saluran khusus Piala Dunia di platform penyiaran Unifi TV.

Unifi TV menawarkan dua peringkat harga bagi pas musim kejohanan antarabangsa ini. Pelanggan Unifi TV sedia ada boleh mendapatkan pas tersebut pada harga RM50. Manakala pengguna yang tidak melanggan perkhidmatan Unifi TV boleh membelinya pada harga RM60. Pas bermusim ini akan ditawarkan bermula dari 11 Jun sehingga 10 Julai 2026.

Langganan pas musim ini bukan sahaja tertumpu kepada perlawanan bola sepak semata-mata. Akses ini turut merangkumi lebih daripada 70 saluran premium di bawah katalog Unifi TV. Ia merangkumi saluran-saluran hiburan dan sukan ternama seperti HBO, Cinemax, AXN, beIN SPORTS, SPOTV, dan tvN Movies.

Bagi peminat yang sekadar mahu menonton jadual perlawanan terpilih sahaja, Unifi TV turut menyediakan fleksibiliti melalui pilihan pas harian. Pas harian ini berharga RM20 dan boleh didapati bermula 12 Jun 2026.

Anda kini boleh mula melanggan pas Piala Dunia FIFA 2026 ini menerusi halaman promosi khas yang disediakan di laman web rasmi Unifi. Bagi pelanggan Unifi sedia ada, proses langganan boleh dibuat secara terus menggunakan aplikasi MyUnifi, Portal Layan Diri Unifi (Unifi Selfcare Portal), dan aplikasi Unifi TV 2.0.

Sebagai alternatif langganan jangka masa panjang, Unifi TV turut mengumumkan beberapa pek kandungan lain dengan struktur harga yang berbeza bergantung kepada status langganan jalur lebar pengguna.

Pek permulaan ‘Star Pack’ ditawarkan pada harga serendah RM12 sebulan untuk pelanggan Unifi dan RM16 sebulan untuk pengguna biasa.

Sementara itu, pakej sukan ‘Sports Pack’ pula ditawarkan pada harga RM30 sebulan bagi pelanggan Unifi, manakala pengguna luar (berdiri sendiri atau standalone) boleh melanggannya pada harga RM39 sebulan.

Tinggalkan komentar