TNG Digital telah mengumumkan kemas kini wajah baharu bagi aplikasi TNG eWallet untuk menawarkan pengalaman yang lebih mesra pengguna dan intuitif.
Reka bentuk semula ini memfokuskan kepada halaman utama yang berkonsepkan carian pantas. Akses kepada pelbagai perkhidmatan kini dipermudahkan tanpa perlu menavigasi pelbagai lapisan aplikasi.
Halaman utama baharu memperkenalkan bahagian akses pantas yang menampilkan empat hab utama untuk ciri-ciri aplikasi yang paling kerap digunakan.
Pengenalan hab ini disokong oleh palang carian yang lebih besar di bahagian atas skrin bagi memudahkan pencarian perkhidmatan. Empat hab tersebut merangkumi:
- GOfinance: Menempatkan kesemua perkhidmatan kewangan di bawah satu bumbung.
- Near Me: Membolehkan pengguna mencari tawaran makanan dan minuman berhampiran dengan lokasi mereka.
- Bills: Menyediakan akses mudah kepada pembayaran utiliti dan perkhidmatan bil berulang.
- Transport: Menempatkan ciri-ciri Kad Touch ‘n Go serta fungsi lain yang berkaitan dengan perjalanan dan pengangkutan awam.
Navigasi Bahagian Bawah Terkini
TNG Digital juga telah meringkaskan dan menyusun semula palang akses di bahagian bawah aplikasi bagi menumpukan kepada kemudahan penggunaan sebelah tangan.
Susun atur baharu ini direka khusus untuk menggambarkan cara pengguna berinteraksi secara harian dengan telefon pintar mereka.
Menerusi kemas kini ini, butang “Transfer” (Pindahan) kini dipindahkan ke palang bawah untuk capaian ibu jari yang lebih ergonomik.
Selain itu, segala sejarah transaksi seperti rekod pembayaran, pemindahan wang, dan tambah nilai terkini kini disatukan di dalam ruangan “Activity” (Aktiviti).
Antara muka baharu ini telah dilancarkan kepada pengguna secara berperingkat bermula 4 Jun 2026. Untuk anda yang masih belum melihat perubahan ini boleh memuat turun versi aplikasi yang paling terkini.










