Samsung secara rasminya telah melancarkan siri fon telinga  nirwayar generasi baharu, Galaxy Buds4 dan Galaxy Buds4 Pro. Pelancaran peranti ini diumumkan serentak dengan siri telefon pintar Galaxy S26 ketika acara Galaxy Unpacked.

Siri baharu ini menampilkan rekaan sarung pengecas empat segi klasik serta spesifikasi audio yang lebih jitu.

Mengekalkan reka bentuk batang (stem) pada fon telinga, siri Galaxy Buds 4 memperkenalkan semula rekaan sarung pengecasannya kepada bentuk asal yang bersegi.

Perbezaan utama dari segi fizikal antara model standard dan model Pro terletak pada penggunaan tip silikon pada hujung putik. Kehadirannya pada model Pro membolehkan pengedapan bunyi yang lebih menyeluruh.

Kualiti audio yang lebih mantap

Menurut Samsung, kedua-dua peranti ini mampu menghasilkan audio HiFi 24-bit. Ia dapat dimanfaatkan apabila disambungkan kepada peranti Samsung Galaxy yang menjalankan sistem operasi OneUI 4 dan ke atas.

Jangka hayat bateri Buds4 mampu bertahan selama 5 jam dengan Pembatalan Bunyi Aktif (ANC) dan 6 jam tanpa ANC. Penggunaannya bersama sarung pengecas memberikan ketahanan sehingga 24 jam (dengan ANC) dan 30 jam (tanpa ANC).

Manakala Buds4 Pro pula, hayat baterinya menawarkan 6 jam penggunaan dengan ANC atau 7 jam tanpa ANC. Ketahanan tempoh bateri maksimumnya boleh mencapai 26 hingga 30 jam apabila dipadankan bersama sarung pengecas.

Model standard dilengkapi pemacu audio (driver) 1-hala bersaiz 11mm. Manakala varian Pro dikuasakan oleh kombinasi pemacu 2-hala iaitu woofer bersaiz 11mm dan tweeter yang lebih padat.

Kedua-dua model disokong oleh ciri pembatalan hingar aktif (ANC) menggunakan tiga mikrofon. Khusus untuk varian Pro, ia ditambah baik dengan fungsi Voice and Siren Detect yang menguatkan bunyi persekitaran secara automatik apabila suara atau siren dikesan. Dua daripada mikrofonnya juga diklasifikasikan sebagai mikrofon Nisbah Isyarat-ke-Bunyi Tinggi (HSNR).

Siri Galaxy Buds4 juga menyokong audio beresolusi Ultra High Quality (24-bit / 96kHz). Ciri ini khusus untuk digunakan bersama-sama dengan peranti generasi terkini seperti siri Galaxy S23, Galaxy Z Flip5, Z Fold5, atau tablet Tab S9 yang menjalankan OneUI 6.1.1 ke atas.

Pra-tempahan bagi siri Samsung Galaxy Buds4 kini telah dibuka di pasaran, dengan jualan umum akan bermula secara rasmi pada 11 Mac 2026.

Galaxy Buds4 standard dijual pada harga RM699, manakala varian Buds4 Pro berharga RM999. Kedua-duanya hadir dalam pilihan warna asas iaitu Hitam dan Putih. Cuma pilihan warna Pink Gold ditawarkan secara eksklusif dalam talian untuk model Pro sahaja.

Anda juga berpeluang menikmati diskaun 10% untuk fon telinga ini jika dibeli bersama model telefon pintar terpilih dari siri Galaxy S atau Z sehingga 31 Mei 2026 .

Tinggalkan komentar