Aplikasi MyGOV akan menawarkan penstriman percuma perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 kepada pengguna di Malaysia. Menteri Digital, Gobind Singh Deo, memaklumkan siaran berkenaan akan disediakan menerusi aplikasi MyGOV untuk tontonan di peranti mudah alih.

Pengguna yang telah berdaftar dengan MyDigital ID akan boleh mengakses siaran langsung itu melalui aplikasi MyGOV. Dalam pada masa yang sama platform penstriman tradisional yang sedia ada juga boleh digunakan untuk menikmati siaran tersebut.

MyGOV diperkenalkan sebagai platform sehenti untuk perkhidmatan berkaitan kerajaan. Ia membolehkan pengguna mengakses pelbagai urusan awam serta maklumat peribadi dalam satu aplikasi. Aplikasi berkenaan kini tersedia di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan dalam MyGOV ialah maklumat berkaitan identiti seperti butiran MyKad, maklumat lesen memandu, status pasport, saman polis dan JPJ, rekod wang tidak dituntut serta bil pihak berkuasa tempatan.

Satu bahagian baharu LIVE TV kini dipaparkan pada skrin utama aplikasi MyGOV yang menyenaraikan saluran RTM seperti TV1, TV2, Okey TV, Sukan RTM dan Berita RTM.

Piala Dunia FIFA 2026 dijadualkan bermula secara rasmi pada Jumaat, 12 Jun, pukul 3.00 pagi waktu Malaysia, dengan perlawanan pembukaan berlangsung di Mexico. Selain MyGOV, siaran langsung RTM juga boleh ditonton secara percuma menerusi RTMKlik melalui pelayar web. Manakala aplikasi RTMKlik turut tersedia di Google Play Store dan Apple App Store.

Tinggalkan komentar