Telekom Malaysia (TM) dilaporkan muncul sebagai salah satu badan yang sedang mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026.

Perkembangan ini memberi petunjuk baharu ketika masih belum ada pengesahan rasmi mengenai stesen penyiar untuk acara sukan terbesar di dunia tersebut untuk penonton di Malaysia.

Rundingan yang difahamkan sedang berjalan tersebut melibatkan potensi kerjasama antara platform siaran Unifi TV milik TM bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membuat bidaan hak penyiaran secara bersama.

Walau bagaimanapun, proses tersebut masih di peringkat perbincangan dan kedua-dua entiti terus menilai kebolehlaksanaan struktur perkongsian tersebut, terutamanya dari aspek kos.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, perkara berkaitan hak siaran Piala Dunia 2026 masih belum dibawa ke peringkat Kabinet setakat ini.

Kementerian Belia dan Sukan juga dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada asalnya menetapkan tanda harga sebanyak AS$50 juta (sekitar RM197.5 juta). Nilai tersebut disifatkan terlalu tinggi untuk pasaran penyiar tempatan.

Harga tersebut kemudiannya dilaporkan telah dikurangkan kepada sekitar AS$35 juta (kira-kira RM138.3 juta). Namun syarikat penyiaran masih lagi menunjukkan langkah berhati-hati.

Kemungkinan penglibatan RTM dalam bidaan bersama TM ini juga mengundang persoalan umum berkaitan kewajaran penggunaan dana kerajaan untuk menampung kos siaran sukan.

Pemain industri yang sinonim dengan siaran antarabangsa seperti Astro setakat ini belum membuat sebarang pengumuman berhubung perancangan mereka.

Piala Dunia 2026 dijadualkan berlangsung merentasi Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Tinggalkan komentar