Warganegara Malaysia bakal mempunyai pilihan untuk memohon pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun yang sekali gus bakal menamatkan amalan pembaharuan pasport setiap lima tahun.

Pengenalan inisiatif ini dilaporkan susulan pewartaan terbaharu oleh kerajaan yang turut menetapkan kadar bayaran baharu untuk dokumen perjalanan tersebut.

Perubahan pengeluaran pasport ini terkandung secara rasmi dalam Perintah Yuran (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 atau P.U. (A) 208. Warta Kerajaan Persekutuan tersebut telah disiarkan dan mula berkuat kuasa sepenuhnya pada 3 Jun 2026 bagi membolehkan pelaksanaan pasport dengan tempoh sah laku jangka panjang.

Struktur Kadar Bayaran Pasport

Melalui warta tersebut, kerajaan telah menggariskan kadar bayaran baharu khusus untuk pasport 10 tahun mengikut kategori pemohon.

Kategori Pemohon Kadar Bayaran
Warganegara berumur di bawah 60 tahun RM350
Warga emas (60 tahun dan ke atas) RM175
Orang Kurang Upaya (OKU) 18 tahun ke atas dengan Kad OKU Percuma
Pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Percuma

Warta berkenaan bagaimanapun tidak menyenaraikan kategori yuran standard pasport 10 tahun untuk kumpulan tertentu. Ini termasuk kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah yang menuntut di luar negara, serta jemaah haji.

Kadar Denda Kehilangan dan Kerosakan

Selain daripada permohonan baharu, kerajaan juga telah memuktamadkan penstrukturan denda bagi penggantian pasport 10 tahun sekiranya hilang atau rosak. Kadar penalti kewangan ini akan meningkat dengan setiap kejadian kehilangan atau kerosakan yang berulang.

Kategori Pemohon Penggantian Pertama Penggantian Kedua Penggantian Ketiga & Seterusnya
Warganegara 18 hingga 59 tahun RM550 RM850 RM1,350
Warga emas (60 tahun dan ke atas) RM375 RM675 RM1,175
OKU (18+ tahun) dan Kakitangan Imigresen RM200 RM500 RM1,000

Setakat artikel ini ditulis, Jabatan Imigresen Malaysia masih belum mengumumkan sebarang perincian lanjut berhubung tarikh sebenar penawaran pasport 10 tahun ini. Prosedur serta tata cara permohonan juga buat masa ini masih belum diumumkan.

Tinggalkan komentar