Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengehadkan pemilikan kad SIM prabayar kepada lima keping bagi setiap syarikat telekomunikasi (telco) untuk warganegara Malaysia bermula 26 Februari 2026.

Langkah penguatkuasaan ini diperkenalkan melalui Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar. Ia bertujuan membendung penyalahgunaan kad SIM untuk aktiviti penipuan dan jenayah siber di seluruh negara.

Rangka kerja baharu ini merupakan satu langkah kawal selia bagi menangani peningkatan kes penipuan dalam talian (scam). Ia juga bertujuan mencegah pelbagai kesalahan lain yang berkaitan dengan kecurian identiti.

Platform automasi yang lebih selamat kini diwajibkan, di samping pengawasan yang lebih ketat terhadap pendaftaran, khususnya yang melibatkan warganegara asing.

Senarai spesifikasi dan syarat utama pendaftaran di bawah Rangka Kerja MCMC baharu:

Setiap warganegara kini dihadkan maksimum sehingga lima kad SIM prabayar sahaja bagi setiap syarikat telekomunikasi. Untuk bukan warganegara pula, hanya dua kad SIM prabayar dibenarkan bagi setiap syarikat penyedia perkhidmatan.

Proses pendaftaran kendiri (self-registration) kini mewajibkan proses padanan biometrik dan penggunaan MyDigital ID bagi mengekang pendaftaran menggunakan profil palsu.

Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dilarang sama sekali daripada mendaftar kad SIM. Manakala golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula wajib mendaftar menggunakan profil ibu bapa atau penjaga yang sah.

Kad SIM yang dibeli oleh pelancong antarabangsa dihadkan kepada tempoh sah laku maksimum tiga bulan sahaja. Ia akan ditamatkan secara automatik sebaik tempoh tersebut tamat.

Pengguna akan dimaklumkan mengenai status pendaftaran kad SIM yang telah dibuat dalam tempoh masa 12 jam .

MCMC turut menggesa orang ramai supaya hanya mendaftar kad SIM melalui pengedar berlesen dan saluran yang diiktiraf bagi mengelakkan masalah pada masa akan datang. Tindakan tegas boleh dikenakan ke atas syarikat telekomunikasi atau penjual yang gagal mematuhi peraturan baharu ini.

Tinggalkan komentar