Malaysia tidak lama lagi akan memulakan proses membangunkan rangkaian 5G keduanya, dan akan beralih dari Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada Dual Wholesale Network (DWN).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memulakan proses mengenalpasti dan melantik pengendali rangkaian mudah alih (mobile network operator, MNO) untuk membangunkan rangkaian kedua tersebut.
Ia hadir selepas empat syariakt telekomunikasi iaitu Maxis, CelcomDigi, Yes dan U Mobila mengumumkan ketersediaan masing-masing untuk melengkapkan proses perjanjian langganan saham (share subscription agreement, SSA).
Menurut kenyataan media menteri berkenaan, SKMM akan mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (Applicant Information Package, AIP) pada 1 Julai ini. Ia akan dilakukan secara telus berdasarkan bidang kuasa dan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, lima syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia akan mengambil 70% dari jumlah keseluruhan pegangan di dalam Digital Nasional Berhad (DNB) yang pada ketika ini merupakan satu-satunya pengendali 5G di Malaysia. Setiap syarikat perlu menyuntik dana sejumlah RM233 juta untuk mendapatkan saham dengan setiap darinya memegang 14%.
Setakat ini empat syarikat telekomunikasi telah memuktamadkan SSA menjelang penghujung Jun ini dengan Telekom Malaysia (TM) kini sedang di dalam proses untuk mendapatkan kelulusan para pemegang taruhnya sebelum 21 Ogos 2024. Pihak kerajaan Malaysia memegang 30% saham dan juga pegangan khas di dalam DNB.